'Saya tak tahu 10,000 ahli PKR ugut keluar parti'

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

KAJANG - Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan beliau tidak mengetahui mengenai dakwaan bahawa 10,000 ahli PKR akan keluar parti itu sekiranya Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dipecat.

Saifuddin Nasution sebaliknya menegaskan apa yang beliau tahu adalah parti itu mendaftarkan seramai 10,000 kemasukan ahli baharu pada setiap minggu melalui 222 cabang PKR di seluruh negara.

Beliau turut memaklumkan bahawa keahlian PKR kini hanya memerlukan 30,000 orang lagi ahli baharu sebelum mencecah angka 1 juta.

"Saya tak tahu berapa ramai nak keluar. Tapi sebagai Setiausaha Agung parti, tugas setiap minggu melaporkan dalam mesyuarat biro politik tentang kemasukan ahli baharu dalam parti iaitu kemasukan 10,000 ahli seminggu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia Bersama Tesco di Tesco Extra Kajang di sini hari ini.

Semalam Sinar Harian melaporkan, lebih 10,000 ahli PKR daripada 13 cabang di Pulau Pinang bertekad meninggalkan parti itu sekiranya Zuraida dipecat.

ARTIKEL BERKAITAN: Kemelut dalaman PKR tak jejas peluang Anwar jadi PM

Pengerusi Persatuan Penggerak Muafakat Nasional Pulau Pinang, Shahrudin Mohd Shariff berkata, pihaknya bersedia untuk berbuat demikian namun akan mempertahankan terlebih dahulu pemimpin mereka daripada diambil tindakan.

Bagaimanapun Saifuddin Nasution menganggap kenyataan yang dibuat oleh penyokong Zuraida itu ketika mereka dalam keadaan marah.

Artikel Berkaitan:

"Benda belum berlaku (10,000 keluar parti), cuma kenyataan. Ketika demonstrasi suhu marah itu tinggi, jadi, (bila) pemberita tanya dia pun petiklah 10,000 (ahli akan keluar parti)," katanya.