Penjawat awam tersenyum kira gaji baharu hari ini
HARI ini, lebih 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara memberi tumpuan kepada pengumuman penting yang akan dibuat Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sempena Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19.
Perdana Menteri bakal memuktamadkan kadar sebenar peningkatan gaji penjawat awam apabila sebelum ini, jurucakap kerajaan memberikan gambaran awal kenaikan tersebut sekitar 15 hingga 42.7 peratus, bergantung kepada gred dan tempoh perkhidmatan.
Kenaikan itu melibatkan kumpulan pelaksana paling tinggi, manakala bagi kumpulan seperti Ketua Setiausaha (KSU), Ketua Pengarah, peningkatannya lebih sederhana.
Sebaik sahaja pengumuman dibuat, sudah pasti rata-rata penjawat awam akan mula mengira gaji pokok yang bakal mereka nikmati bermula tahun depan.
Berita gembira itu sangat dinanti-nantikan kerana kali terakhir kenaikan gaji pada 2013 dengan kadar sekitar 13 peratus. Kali ini, Perdana Menteri memaklumkan kadar kenaikan adalah paling tinggi dan terbesar dalam sejarah negara.
Pelarasan tersebut akan membabitkan peruntukan mencecah lebih RM10 bilion. Beliau menjelaskan dengan pelarasan itu nanti, pendapatan minimum penjawat awam merangkumi gaji dan elaun tetap akan melebihi RM2,000 sebulan.
Ini sebahagian usaha kerajaan untuk menyesuaikan gaji penjawat awam dengan peningkatan kos sara hidup.
Pada masa sama diharap dapat meningkatkan moral penjawat awam dan memastikan keberkesanan dalam pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.
Bagaimanapun, perincian mengenai skim gaji menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) perlu dibentangkan untuk diluluskan dalam Belanjawan 2025 pada Oktober ini.
Oleh itu, sokongan 222 ahli Parlimen sangat penting untuk memastikan pengumuman Perdana Menteri pada hari ini dapat direalisasikan. Perdana Menteri sebelum ini menyatakan keyakinan kenaikan gaji tersebut akan mendapat sokongan yang kukuh di Parlimen dan lulus dengan bergaya.
Bagi sektor swasta pula, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) kini sedang meneruskan usaha pendaftaran syarikat yang ingin turut serta dalam program dasar gaji progresif bagi meningkatkan gaji pekerja.