Industri filem Sabah bantu lonjakkan industri pelancongan

Christina Liew
Christina Liew
A
A
A

KOTA KINABALU - Peranan syarikat produksi mewujudkan industri perfileman di Sabah akan memberi impak besar kepada industri pelancongan di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew.

Beliau berkata, Can Bah Production yang secara rasminya bertapak di Sabah semestinya akan menjadi lonjakan besar untuk industri perfileman di negeri ini dan berharap lebih banyak usaha akan dibuat pada masa akan datang.

“Orang ramai akan melihat banyak tempat menarik di Sabah yang akan dipromosikan melalui filem-filem yang dihasilkan di negeri ini... saya mengucapkan tahniah kepada Can Bah Production... saya harap dengan adanya Can Bah Production ini akan menjadi pemangkin memajukan industri perfileman di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe, pada majlis perasmian pembukaan pejabat syarikat produksi filem itu di sini hari ini.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata kerajaan negeri mengalu-alukan usaha untuk mempelbagaikan lagi industri di Sabah sebagai sumber pendapatan baharu ke arah merancakkan lagi pembangunan ekonomi di negeri ini.

Katanya, semua pihak mempunyai peranan untuk membawa masuk industri baharu di Sabah seperti industri perfileman bagi menjana lebih banyak pendapatan sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Usaha untuk meningkatkan industri bukan perkara mudah terutamanya ke arah membina industri baharu. Ia memerlukan banyak kerja keras, komitmen dan dedikasi. Sabah sangat bertuah kerana mempunyai banyak pemimpin dan pemikir yang berani,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Can Bah Production Katak Chua Soon Min berkata, syarikat filem tempatan itu baharu dibuka di Sabah dan peranannya bukan sahaja untuk menerbitkan filem tetapi juga menyediakan kemudahan lain seperti pengiklanan dan sewa barangan untuk tujuan perfileman.

Artikel Berkaitan:

“Industri filem sangat penting dalam usaha mempromosikan Sabah. Pemandangan indah dan kepelbagaian budaya kita yang akan dipaparkan dalam filem akan ditunjukkan di seluruh dunia, secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan di Sabah,” katanya. - Bernama