Belajar teknik bahasa Arab mudah, fahami al-Quran dengan lebih baik

100 peserta dari Rumah Ngaji Pulau Pinang menyertai pembelajaran teknik bahasa Arab di puncak Gunung Jerai, di sini pada Sabtu.
100 peserta dari Rumah Ngaji Pulau Pinang menyertai pembelajaran teknik bahasa Arab di puncak Gunung Jerai, di sini pada Sabtu.
A
A
A

YAN - Seramai 100 peserta dari Rumah Ngaji Pulau Pinang tidak melepaskan peluang menyertai pembelajaran teknik bahasa Arab mudah agar dapat memahami al-Quran dengan lebih baik di puncak Gunung Jerai, di sini pada Sabtu.

Pengerusi Rumah Ngaji Pulau Pinang, Mohd Taufeq Abdul Rahman berkata, pemilihan lokasi tersebut bertujuan untuk menyemarakkan dan menggerakkan lagi gelombang al-Quran ke seluruh tempat di negara ini.

Menurutnya, pelbagai aktiviti dilakukan oleh rumah ngaji tersebut dan pihaknya gembira kerana mendapat sokongan daripada semua ahli biarpun bergerak secara sukarela.

“Bila kita nak bagi sesuatu ilmu itu kalau boleh bukan setakat itu saja tetapi juga melalui program-program yang diadakan. Sebelum ini Quran Hour Arafah kami buat di Bukit Bendera, Pulau Pinang yang merupakan tempat pelancongan, jadi mereka boleh santai-santai melihat alam sekitar, selain dapat membaca al-Quran.

“Hari ini pula, di samping kita belajar bahasa Arab mudah, kita juga dapat mengenali kawasan ini kerana ada yang tidak pernah sampai ke Gunung Jerai,” katanya semasa ditemui Sinar Harian di Jerai Ballroom, dekat sini.

Pelbagai aktiviti diadakan oleh Rumah Ngaji Pulau Pinang bagi menarik perhatian masyarakat di negeri tersebut.
Pelbagai aktiviti diadakan oleh Rumah Ngaji Pulau Pinang bagi menarik perhatian masyarakat di negeri tersebut.

Hadir sama Pengurus Acara dan Kempen Ummah Ikhlas, Rozalina Mohamed, Eksekutif Kanan Rumah Ngaji, Marawaty Abdul Haris dan Penyelaras Rumah Ngaji Pulau Pinang, Zaiton @Zariyah Abdullah.

Jelas Mohd Taufeq, Rumah Ngaji Pulau Pinang bukan sahaja fokus kepada belajar dan mengajar al-Quran sahaja, tetapi juga melakukan pelbagai aktiviti termasuk melawat rumah ngaji di negeri-negeri lain.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penerimaan rumah ngaji ini semakin mendapat perhatian penduduk di sekitar Pulau Pinang dan berharap gelombangnya semakin besar dari semasa ke semasa apabila kini sudah mempunyai 86 rumah ngaji di seluruh negeri tersebut.

“Sekarang ini ramai peserta terdiri daripada wanita, kita harap lebih ramai lagi penyertaan daripada peserta-peserta lelaki pada masa akan datang.

“Pulau Pinang setakat ini ada 86 rumah ngaji dan kita menyasarkan untuk mengembangkan lagi kepada 100 buah rumah ngaji berdasarkan kepada minat dan sokongan yang diberikan oleh masyarakat sekitar,” ujarnya.

Tambahnya, hebahan media juga telah membantu menarik lebih ramai pihak untuk membuka rumah ngaji di rumah dan surau di tempat masing-masing.

“Peserta rumah ngaji sekarang ada 1,500 orang di seluruh Pulau Pinang dan pelbagai aktiviti diadakan seperti adanya perkelahan, program Ramadan,perjumpaan hari raya dan kelas memasak, jadi dapat menarik minat masyarakat untuk sama-sama menyertai rumah ngaji ini dan kembali kepada al-Quran,” katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!