X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga lagi positif koronavirus di Singapura

koronavirus, Singapura,
Gambar hiasan. Foto AFP
A
A

SINGAPURA - Kementerian Kesihatan Singapura hari ini mengesahkan tiga lagi kes import jangkitan koronavirus Wuhan di negara itu, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 10 kes.

Dalam makluman perkembangan terkini mengenainya, kementerian itu menjelaskan bahawa semua kes baharu itu melibatkan warganegara China dari Wuhan.

“Ini konsisten dengan penilaian kami bahawa lebih banyak kes import dijangka dari wilayah Hubei,” " jelasnya. Wuhan adalah ibu kota wilayah Hubei.

Ketiga-tiga individu itu kini diletakkan di bilik pengasingan di National Centre for Infectious Diseases (NCID).

Kes kelapan dan kesembilan - pasangan suami isteri kedua-duanya berusia 56 tahun - tiba bersama di Singapura pada 19 Januari.

Mereka ke Tan Tock Seng Hospital pada 27 Januari dengan simptom jangkitan koronavirus dan terus diasingkan di NCID.

Keputusan ujian mengesahkan mereka dijangkiti virus itu masing-masing pada 28 Januari dan 29 Januari.

Kes ke-10 pula melibatkan lelaki berusia 56 tahun, warganegara China yang tiba di Singapura dari Wuhan pada 20 Januari.

Dia mengalami tanda-tanda dijangkiti virus itu pada 21 Januari dan dimasukkan ke NCID pada 28 Januari selepas dikenal pasti sebagai kes disyaki pada tempat saringan kesihatan.

Keputusan ujian seterusnya mengesahkan dia dijangkiti koronavirus pada 29 Januari.

"Ketiga-tiga individu bagi kes baharu berkenaan pada masa ini stabil, dan kami terus memantau kesihatan mereka," menurut kementerian itu.

Bagi tujuh kes yang diumumkan sebelumnya, kementerian itu memaklumkan bahawa kesemua mereka kekal stabil dan kebanyakannya bertambah baik. - Bernama