Kumpulan pro, anti-Zuraida bertembung di Pahang

Kem pro-Zuraida menyatakan berhimpun secara aman di tapak Pekan Sehari bagi menyatakan sokongan terhadap Naib Presiden PKR itu.
Kem pro-Zuraida menyatakan berhimpun secara aman di tapak Pekan Sehari bagi menyatakan sokongan terhadap Naib Presiden PKR itu.
A
A
A

TEMERLOH - Sekumpulan penyokong Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin bertembung dengan kumpulan yang mendesak pemimpin itu meletakkan jawatan dalam perhimpunan aman di tapak Pekan Sehari di sini hari ini.

Walaupun hujan namun tidak menghalang lebih 50 ahli PKR Pahang pro-Zuraida menyatakan solidariti dalam perhimpunan aman tersebut.

Sementara itu, kumpulan anti-Zuraida yang mendesak naib presiden itu dipecat daripada parti disertai lebih 40 ahli PKR termasuk Ketua Cabang Maran, Bostamin Abu Bakar.

Wakil solidariti pro-Zuraida, Albakri Salim berkata, pihaknya menyatakan sokongan terhadap Zuraida kerana beliau adalah contoh pemimpin yang baik dan sentiasa memberikan komitmen.

Menurutnya, ahli PKR akan merasakan satu kehilangan besar dan ketidakadilan jika tindakan dikenakan terhadap pemimpin itu.

"Kami ingin menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kerana beliau adalah contoh terbaik, sentiasa turun ke akar umbi, memberikan motivasi kepada ahli supaya terus bergerak aktif berkhidmat kepada masyarakat dan menghidupkan program aktiviti di peringkat cabang dan ranting.

"Beliau telah memberikan komitmen baik sepanjang tempoh perkhidmatannya dan merasakan ia satu kehilangan besar dan ketidakadilan jika berlaku sesuatu tindakan terhadapnya.

"Hari ini adalah hari terakhir rayuan dan himpunan kita hari ini bukan sahaja di Pahang malah di 10 negeri lain menyatakan sokongan kepada beliau (Zuraida)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kumpulan anti-Zuraida berhimpun mendesak Naib Presiden PKR itu dipecat.
Kumpulan anti-Zuraida berhimpun mendesak Naib Presiden PKR itu dipecat.

Hadir sama menyokong Zuraida ialah Ketua Cabang Pekan, Jefri Bakar; Ketua Cabang Rompin, Rabidin Kasmawi; Ketua Cabang Bentong, Dasimah Zainudin; Ketua Wanita PKR Pahang, Sitarunisah Ab Kadir dan beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Zuraida yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan diberikan tempoh 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab yang dikemukakan Lembaga Disiplin bertarikh 15 Januari lalu ke atasnya atas dakwaan salah laku disiplin.

Albakri turut menyifatkan Zuraida sebagai seorang pemimpin tegas dan telus dalam menyuarakan sesuatu isu.

"Jadi kami sebagai ahli berharap beliau kekal dengan pendiriannya. Ini memang satu dugaan terhadapnya. Beliau adalah seorang tegas dan berpegang teguh, jadi bagi saya ia tidak memberikan kesan terhadapnya," katanya.

Sementara itu, wakil solidariti anti-Zuraida, S Vediyappan berkata, pihaknya menyatakan sokongan supaya Zuraida dipecat daripada PRK.

"Kami mendesak supaya beliau (Zuraida) dipecat daripada parti dan kata dua buatnya, undur diri secara sukarela atau berdepan tindakan tegas ini," tegasnya.