Pengarah syarikat didakwa lagi

Tahun lalu, Razali didakwa atas lima pertuduhan menipu urusan pakej haji pada 2017.
Tahun lalu, Razali didakwa atas lima pertuduhan menipu urusan pakej haji pada 2017.
A
A
A

TAIPING - Pengarah sebuah agensi pelancongan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Taiping hari ini atas lima pertuduhan gagal mematuhi Award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) tahun lalu.

Tertuduh, Razali Abdul Rahman, 64, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Hairol Jemain.

Berdasarkan pertuduhan, Razali pada 30 Mei 2019 didapati masih gagal mematuhi Award TTPM bertarikh 8 Februari 2018.

TTPM Taiping memerintahkan penentang hendaklah membayar kepada lima pihak yang menuntut wang sebanyak RM5,000 setiap seorang dalam tempoh 14 hari dari tarikh Award diserahkan.

Tertuduh disabitkan di bawah Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 pada 29 Mei 2019 atas kesalahan sama boleh dikenakan penalti tambahan di bawah Seksyen 117(2) akta yang sama.

Jika disabitkan, sebagai tambahan kepada penalti, tertuduh boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan berterusan selepas disabitkan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Mohamed Nizam Mohamed Yunan manakala Razali tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 26 Februari depan sebagai sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Tahun lalu, Razali pernah didakwa atas lima pertuduhan menipu urusan pakej haji pada 2017.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengarah syarikat tidak mengaku salah tipu pakej haji

Pada 18 Disember 2017, lima mangsa membuat laporan kepada TTPM Cawangan Taiping susulan kegagalan syarikat berkenaan membawa mereka menunaikan haji pada 2014 meskipun sudah membuat pembayaran penuh RM5,000 pada 19 Januari 2013.

Syarikat itu turut gagal menunaikan janji memulangkan semula wang milik kesemua mangsa.