Penduduk Kelantan kecewa rebat elektrik ditarik

Lebih 100 penduduk dari tiga buah mukim di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak berhimpun secara aman bagi menuntut penjelasan dan menzahirkan rasa kecewa terhadap pihak berkenaan berhubung isu penarikan rebat elektrik untuk golongan bawah 40 (B-40).
Lebih 100 penduduk dari tiga buah mukim di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak berhimpun secara aman bagi menuntut penjelasan dan menzahirkan rasa kecewa terhadap pihak berkenaan berhubung isu penarikan rebat elektrik untuk golongan bawah 40 (B-40).
A
A
A

PASIR PUTEH - Lebih 100 penduduk dari tiga buah mukim di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak di sini berhimpun secara aman bagi menuntut penjelasan dan menzahirkan rasa kecewa terhadap pihak berkenaan berhubung isu penarikan rebat elektrik untuk golongan bawah 40 (B40).

Dakwaan penduduk, penarikan rebat elektrik itu berlaku secara mengejut tanpa sebarang permakluman daripada pihak berkenaan.

Difahamkan kesemua penduduk yang menuntut penjelasan itu merupakan penerima bantuan e-Kasih dan golongan berpendapatan rendah.

Seorang penduduk, Norazita Mohd Daud, 38, tanpa berselindung mengakui terkejut selepas tidak lagi menikmati rebat tersebut pada tahun ini.

"Saya merupakan salah seorang penerima rebat elektrik ini secara automatik bermula Februari tahun lalu.

"Namun masuk sahaja bulan ini, saya tidak lagi mendapat manfaat tersebut. Lebih menyedihkan lagi tiada sebarang notis berhubung perkara ini dimaklumkan kepada kami," katanya.

Menurutnya, pemberian rebat elektrik sebelum ini amat membantu dia dan keluarga memandangkan suami hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Katanya, sejak pemberian dibekukan dia dan keluarga sedikit terbeban kerana mempunyai seorang anak yang masih kecil dan tiga lagi sedang bersekolah.

Artikel Berkaitan:

"Saya merayu pihak berkenaan supaya mengkaji balik perkara ini dan 'memulangkan' semula rebat berkenaan agar kami dapat menikmati manfaat disediakan oleh kerajaan.

"Sebelum ini bil elektrik rumah saya sekitar RM60, bila dapat rebat RM40 ia cukup melegakan. Namun bila tidak dapat, agak terbeban juga dengan situasi ini," katanya.

Sementara itu, aktivis masyarakat, Abdullah Mail, 42, berkata, dia kecewa apabila pihak berkenaan gagal memberikan penjelasan tepat berhubung perkara tersebut.

"Saya sudah bertemu dengan pihak berkenaan namun penjelasan yang diberikan agak kabur.

"Walaupun RM40 ini nampak kecil, namun ia amat besar dan bererti buat golongan B40," katanya.