X

Kindly register in order to view this article
!

Mustahil Palestin tanpa Baitulmaqdis: Abbas

Trump merujuk Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang tidak dibahagikan.
A
A

RAMALLAH - Presiden Palestin Mahmoud Abbas semalam berkata, mustahil untuk menerima sebuah negara Palestin tanpa Baitulmaqdis dan memberi amaran rakyatnya akan berjuang habis-habisan menentang pelan damai Amerika Syarikat.

"Sebuah negara Palestin tidak dapat diterima tanpa Baitulmaqdis.

"Baitulmaqdis bukan untuk dijual," tegas beliau pada mesyuarat dengan kepimpinan Palestin di Ramallah di Tebing Barat yang diduduki, lapor agensi berita Anadolu.

Beliau turut mengulangi komitmennya untuk mengadakan pilihan raya Palestin di bandar Baitulmaqdis.

"Selepas kami mendengar berita merepek daripada Trump, kami sama sekali tidak akan menerima perjanjian abad ini.

"Kami tidak akan melutut dan mengaku kalah. Konspirasi dan pelan damai itu ditakdirkan untuk gagal dan lenyap. Ia tidak akan mewujudkan hak baharu dan tidak perlu dipatuhi," katanya.

Abbas menyifatkan perjanjian Amerika ini sebagai 'penamat terhadap Deklarasi Balfour, dan bergantung kepada deklarasi' membayangkan ia adalah perluasan terhadap Deklarasi Balfour sewaktu Kerajaan Britain berikrar menerusi ucapan Menteri Luar Arthur James Balfour pada 1917 bagi menubuhkan kerajaan kebangsaan Yahudi di Palestin.

Abbas juga menegaskan pihaknya berpegang teguh kepada legitimasi antarabangsa dan pelaksanaan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan dengan isu Palestin.

Pemimpin itu juga mengulangi pendiriannya menolak tindakan sepihak Amerika Syarikat menaja proses damai Palestin-Israel.

"Kami bukan pengganas dan kami juga komited untuk memerangi keganasan," katanya.

Mesyuarat itu menyaksikan penyertaan semua pihak di Palestin termasuk Hamas dan Jihad Islam.

"Ketua biro politik Hamas, Ismail Haniyeh, menghubungi saya dan kami berdua bersetuju untuk membuka lembaran baharu dan mengadakan pertemuan di Semenanjung Gaza," kata Abbas tanpa mengulas lanjut.

Semalam, Trump mengumumkan pelan damainya yang tertangguh sejak sekian lama, yang kononnya untuk menamatkan pertikaian Israel-Palestin.

Sidang akhbar mengenai pengumuman itu berlangsung di Rumah Putih, turut dihadiri Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, namun kelibat pegawai Palestin tidak kelihatan kerana dikatakan tidak diundang untuk menghadirinya.

Pada sidang akhbar itu, Trump merujuk Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang tidak dibahagikan.

Pelan damai sepihak itu membatalkan resolusi PBB sebelum ini, mengenai isu Palestin dan mencadangkan untuk menunaikan hampir semua permintaan Israel.

Pengumuman pelan itu menyaksikan ribuan penunjuk perasaan mengadakan bantahan di beberapa kawasan di Palestin dan Amman, Jordan.

Tanda pagar "#FreePalestine" juga menjadi trend di Twitter. - Bernama