Malaysia janji aksi habis-habisan berdepan Korea Selatan

Aaron-Wooi Yik ketika berdepan Astrup-Skaarup Rasmussen dalam aksi suku akhir Piala Sudirman 2023 di Shuzou, China pada Jumaat.
Aaron-Wooi Yik ketika berdepan Astrup-Skaarup Rasmussen dalam aksi suku akhir Piala Sudirman 2023 di Shuzou, China pada Jumaat.
A
A
A

SKUAD badminton negara menjanjikan aksi terbaik apabila berdepan Korea Selatan dalam saingan separuh akhir Piala Sudirman 2023 di Shuzou, China pada Jumaat.

Itu laungan Aaron Chia selepas skuad negara memenuhi sasaran awal apabila mara ke separuh akhir acara berpasukan dunia tersebut selepas menewaskan Denmark 3-1 dalam aksi suku akhir.

"Saya percaya semua pemain semakin bersemangat dengan kemenangan ini untuk berdepan Korea Selatan.

"Saya yakin pemain-pemain yang akan diturunkan esok akan memberikan aksi terbaik masing-masing.

"Kami semua akan berikan yang terbaik untuk mara ke pusingan berikutnya kerana berdepan Korea Selatan bukan satu tekanan," katanya pada Jumaat.

Sebagai rekod, ini kali ketiga Malaysia mara ke separuh akhir kejohanan itu selepas 2009 dan 2021.

Beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menghadiahkan mata pertama negara selepas menewaskan Mathias Christiansen-Alexandra Boje, 15-21, 21-14, 21-7.

Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia yang tampil menggalas cabaran pemain kedua memperoleh kemenangan percuma ke atas pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen yang menarik diri akibat kecederaan kaki pada kedudukan 4-4.

Mengulas kecederaan Axelsen, Zii Jia mengakui terkejut insiden menimpa pemain tersebut.

"Saya masih terkejut. Apapun harap kecederaan Axelsen tidak serius dan dapat pulih dalam masa singkat. Saya harap yang baik saja untuknya," katanya.

Hasrat Malaysia menutup perlawanan lebih awal menerusi perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei tidak kesampaian apabila tumpas kepada Mia Blichfeldt,14-21, 21-15, 19-21.

Mata kemenangan negara akhirnya dijelmakan Aaron-Wooi Yik selepas mengatasi Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, 21-17, 21-16.

Dalam pada itu, Aaron menyifatkan kejayaan menewaskan gergasi badminton Eropah tersebut adalah hasil kerjasama semua pemain.

Malah menurut Aaron, kemenangan itu juga buat rakyat Malaysia yang selama ini sentiasa memberi sokongan padu kepada pemain negara.

"Biarpun saya dan Wooi Yik menyumbang mata kemenangan negara, namun ini semua adalah hasil komitmen semua pemain termasuk Jin Wei.

"Walaupun Jin Wei tewas, namun dia sudah buat yang terbaik sepanjang permainan mungkin luck kurang menyebelahi dia.

"Apapun untuk Piala Sudirman 2023 kami berjuang sebagai satu pasukan," katanya.

Sementara itu, Wooi Yik mengakui mereka berdepan tekanan berdepan gandingan Denmark bagi meraih mata kemenangan pasukan.

Namun sebaliknya jelas Wooi Yik, mereka berdua perlu segera membiasakan diri apabila berdepan situasi sedemikian.

"Saya dan Aaron menganggapnya sebagai motivasi bagi menyalakan semangat kami terutama ini merupakan acara berpasukan.

"Kebiasaannya apabila masuk ke gelanggang fokus kami hanya terhadap perlawanan, namun apabila sokongan daripada rakan-rakan ia ternyata menghadirkan sesuatu yang lain.

"Masa set pertama saya bermain dengan tenang, namun set kedua semangat saya menyala apabila mendapat sokongan rakan-rakan," katanya.