Wanita disyaki dijangkiti koronavirus selamat lahir bayi lelaki

Seorang polis mengambil suhu seorang pemandu di sebuah pusat pemeriksaan di pinggir Wuhan, China. - Foto AFP
Seorang polis mengambil suhu seorang pemandu di sebuah pusat pemeriksaan di pinggir Wuhan, China. - Foto AFP
A
A
A

BEIJING - Seorang wanita di China yang disyaki dijangkiti koronavirus selamat melahirkan bayi lelaki melalui pembedahan di sebuah hospital di bandar Wuhan.

Menurut laporan Reuters, doktor yang melakukan pembedahan itu berkata, kesihatan wanita dikenali sebagai Xiaoyan, 27, semakin merosot dan bayinya memberi terlalu banyak tekanan kepadanya.

Pada masa sama, dia tidak boleh mendapatkan rawatan yang sepatutnya untuk jangkitan tersebut kerana sedang hamil.

Difahamkan, pembedahan sangat bahaya kerana si ibu mengalami demam dan batuk tanpa henti serta menyebabkan doktor yang terlibat berdepan risiko dijangkiti koronavirus.

Sepanjang pembedahan selama sejam itu, doktor dan timbalan pengarah di bahagian obstetrik dan ginekologi Wuhan Union Hospital, Zhao Yin memakai dua sut pelindung, topeng muka serta gogal.

"Saya hampir tidak dapat melihat atau mendengar apa-apa. Saya juga dibasahi peluh," katanya.

Menurut laporan televisyen tempatan, Xiaoyan sedang hamil 37 minggu ketika disyaki dijangkiti virus pada awal bulan ini namun, jangkitannya belum disahkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Angka kematian meningkat kepada 106 orang

Artikel Berkaitan:

Bayi lelaki yang dilahirkan seberat 3.1 kilogram itu dihantar pulang ke rumah secepat mungkin bagi mengelakkan dia terdedah kepada bahaya virus di hospital.

"Saya hanya mahu bayi saya sihat," kata Xiaoyan.

Setakat ini, koronavirus telah meragut 106 nyawa dan menjangkiti lebih 4,500 orang di seluruh China. - Agensi