Siti Hasmah puji usaha tubuh pusat jagaan harian warga emas

Siti Hasmah dan tetamu lain meraikan sambutan Tahun Baru Cina anjuran Kasih Malaysia bersama penghuni rumah SKGV di sini hari ini.
Siti Hasmah dan tetamu lain meraikan sambutan Tahun Baru Cina anjuran Kasih Malaysia bersama penghuni rumah SKGV di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia) memuji usaha badan bukan kerajaan (NGO) menubuhkan rumah jagaan harian untuk warga emas di negara ini.

Pengerusi Kasih Malaysia, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali berkata, penubuhan pusat jagaan itu membolehkan golongan warga emas melakukan aktiviti berfaedah bersama rakan seusia.

Berbanding jika hanya tinggal di rumah menurutnya, meskipun sihat namun warga emas akan berasa keseorangan dan kesepian sehingga kurang berminat melakukan aktiviti lain.

"Ini satu usaha yang baik (menubuhkan pusat jagaan harian warga emas) kerana kita selalu ada pusat jagaan harian untuk kanak-kanak sahaja supaya ibu bapa mereka boleh bekerja.

"Semoga Tuhan memberikan kesihatan kepada anda dan ceria di sini selain urusan di rumah ini bertambah baik.

"Insya-ALLAH dengan sokongan banyak pihak termasuk NGO, ini satu usaha yang baik," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Tahun Baru Cina anjuran Kasih Malaysia di Rumah Selangor King George V (SKGV) di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pemegang Amanah SKGV, Datuk Teng Chan Kim dan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bank Makanan Malaysia, Ab Wahab Long dan Pengarah Eksekutif 99 Speed Mart Sdn Bhd, Ng Lee Tieng.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis tersebut, Dr Siti Hasmah menyampaikan sumbangan 70 hamper makanan kering kepada penghuni warga emas selain dimeriahkan dengan persembahan tarian singa dan yee sang sebagai simbolik sambutan perayaan itu.

SKGB ditubuhkan sejak 1930 dan kini mempunyai 36 penghuni warga emas wanita berbangsa Cina berumur 65 tahun hingga 97 tahun dari kalangan golongan memerlukan.