X

Kindly register in order to view this article
!

Koronavirus: Pasar Tomohon lebih ekstrim dari Wuhan

Paparan Twitter mendedahkan pasar Tomohon juga menjual daging haiwan liar seperti mana pasar Wuhan.
A
A

SULAWESI - Nama pasar Tomohon tiba-tiba menjadi perbualan hangat warganet setelah pasar haiwan eksotik Wuhan dikaitkan dengan wabak koronavirus yang meragut nyawa puluhan rakyat negara itu.

Ini kerana pasar Tomohon Sulawesi Utara (Sulut) juga menjual pelbagai daging haiwan liar seperti, kelawar, kucing, tikus hutan, ular, anjing, babi hutan bahkan orang utan.

"Bayangkan di sini masih ada penduduk yang makan orang utan. Memangnya di daerah ini terlalu sukar mendapatkan makanan, mungkin itu cara mereka dapatkan sumber makanan," ujar Susan, penduduk Tomohon kepada portal Manado.

Bagaimanapun pasar Tomohon yang dibuka Isnin hingga Sabtu telah ditutup oleh pihak berkuasa susulan wabak koronavirus.

Ketua Makmal Kesihatan Haiwan dan Makmal Kesihatan Masyarakat, Pejabat Pertanian dan Penternakan Sulawesi Utara, Hanna Tioho berkata, penutupan pasar itu telah dilaksanakan sebelum wabak itu merebak di sini.

"Sebelum merebak, kita sudah laksanakan pencegahan awal. Oleh itu, kami berharap masyarakat dapat memahami bahawa makanan tersebut tidak boleh dimakan.

"Pengawasan masih dijalankan seperti biasa dan berharap wabak itu tidak merebak di sini," katanya, lapor Detik News.

Dalam pada itu, netizen mengecam tindakan peniaga di pasar Tomohon kerana perbuatan itu sungguh kejam kerana menganiaya haiwan.

"Banyak lagi benda boleh makan, itu juga kamu nak telan," ujar Azihan.

Kata Izat, "Memang daerah itu sahaja yang makan makanan seperti itu, jangan samakan dengan penduduk di daerah lain."

Bagi Hailah_ila pula, dia tidak menyangka terdapat pasar haiwan eksotik di Sulawesi.

"Tular di laman sosial tentang pasar Wuhan tapi tak sangka di Indonesia ada pasar yang sama iaitu pasar Tomohon. Sungguh mengelikan!," katanya.

Terdahulu, pakar dari Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (CDC) berjaya mengasingkan sejumlah besar kuantiti novel wabak koronavirus adalah dari sampel alam sekitar yang didapati dari pasar makanan laut eksotik di Wuhan, China.

Kejayaan itu memberi petunjuk bahawa virus yang kini telah meragut lebih 80 nyawa itu berasal dari daging haiwan liar yang dijual di pasar itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus