X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Bakar pusat tahfiz: Remaja diarah bela diri, rakan bebas

Seorang remaja lelaki diperintah membela diri atas pertuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, hampir tiga tahun lepas. - FOTO ZAHID IZZANI
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang remaja berusia 19 tahun membela diri atas tuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada September 2017.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pertama tersebut.

Sementara itu, seorang lagi remaja yang juga tertuduh kedua dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama oleh mahkamah.

Selepas keputusan dibacakan, tertuduh pertama yang memakai baju hitam dan berseluar jean dilihat menangis teresak-esak hingga terpaksa ditenangkan oleh ibunya manakala tertuduh kedua yang memakai baju T putih dilihat meraup muka tanda syukur.

Kedua-dua tertuduh kemudian berpelukan untuk menenangkan diri masing-masing dan situasi itu menimbulkan suasana hiba dalam mahkamah.

Dua remaja berkenaan yang ketika itu berumur 16 tahun, didakwa membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz tersebut di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini antara jam 4.15 pagi dan 6.45 pagi pada 14 September 2017.

Seramai 71 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan yang bermula 30 Mei tahun lalu.

Mahkamah menetapkan tertuduh pertama membela diri atas kesemua pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada 2 dan 3 Mac depan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim manakala remaja tersebut masing-masing diwakili peguam, Haijan Omar dan Ravin Jay.

Pada 14 September 2017, seramai 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkorban dalam kebakaran di pusat tahfiz tiga tingkat tersebut di Kampung Datok Keramat.

Dua daripada mangsa yang terkorban merupakan warden di pusat tahfiz itu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!