Jemput PM Israel berucap di kongres, Amanah syor Malaysia hantar nota bantahan

Khalid
Khalid
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia dicadang supaya menghantar nota bantahan kepada Amerika Syarikat (AS) susulan tindakan negara kuasa besar dunia itu menjemput Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berucap di Kongres AS pada 24 Julai lalu.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Ab Samad berkata, ini kerana tindakan dibuat itu jelas memperlekehkan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memutuskan negara dan pemimpin Israel adalah penjenayah perang ketika negara haram itu menceroboh Palestin.

Parti itu dalam masa sama kata Khalid, turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan negara yang menjadi sekutu kuat rejim Zionis berkenaan.

"Amanah juga mencadangkan agar kerajaan Malaysia menggunakan hubungannya dengan negara-negara lain di dunia serta majlis-majlis antarabangsa untuk mengajak masyarakat antarabangsa mengecam langkah AS ini dan menuntut supaya Nethanyahu ditahan.

"Pembunuhan ke atas orang-orang yang tidak bersalah, khasnya kanak-kanak, wanita dan orang kurang upaya perlu dihentikan segera walaupun ketika berada di dalam kancah peperangan.

"Penjenayah perang seperti Netanyahu pula tidak wajar diraikan dan diberikan kesempatan untuknya menyampaikan mesej untuk menarik sokongan dunia ketika tangannya penuh dengan darah orang yang tidak berdosa," katanya dalam kenyataan.

Media antarabangsa melaporkan, Netanyahu menyampaikan ucapan kepada Kongres AS pada hari Rabu, di mana hampir separuh daripada penggubal undang-undang Demokrat di Dewan Perwakilan Rakyat dan Dewan Negara keluar sebagai protes terhadap perang dan jenayah Israel di Semenanjung Gaza.

Sementara itu, Khalid dalam kenyataan sama berkata, langkah AS menjemput Netanyahu berucap di Kongres adalah tindakan menghina keputusan yang dibuat oleh ICJ sebelum ini

Artikel Berkaitan:

"Sebagai sebuah kuasa dunia yang kononnya menjulang tinggi prinsip prinsip keadilan dan hak asasi manusia, AS tidak sewajarnya bertindak melanggar dan memperlekehkan institusi ICJ.

"Ia tindakan yang tidak bertanggung-jawab dan jelas bersifat hipokrit. Apa yang AS hendak tunjuk pada dunia? soalnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!