X

Kindly register in order to view this article
!

Koronavirus: Saringan di pintu masuk negara diperkukuh

Kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Johor menggunakan kamera thermal bagi mengesan suhu pelancong yang mempunyai simptom demam bagi mencegah penularan jangkitan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) ketika tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) memperkukuhkan aktiviti saringan kesihatan di semua pintu masuk antarabangsa (PMA) negara sebagai langkah kesiapsagaan dalam menangani jangkitan koronavirus.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, antara usaha yang diambil termasuk menempatkan pengimbas haba di ‘entry points’ bagi mengesan kehadiran mereka yang mempunyai gejala demam.

Jelasnya, bagi daerah Johor Bahru, terdapat enam PMA dengan dua daripadanya masing-masing di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) yang merupakan pintu masuk darat dari Singapura.

Purata pelancong China yang masuk melalui KSAB adalah 3,000-3,500 orang sehari sepanjang 2019.

“Semasa lawatan ke KSAB pada petang Isnin, saya telah melihat sendiri langkah-langkah kesiapsagaan agensi terlibat bagi mengesan pengembara yang bergejala.

“Sekiranya terdapat pengembara yang disyaki, dia akan diperiksa selanjutnya di bilik saringan kesihatan dan dirujuk kepada Pasukan Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk pemeriksaan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, satu laluan khas imigresen bagi mana-mana pengembara yang berasal dari negara China juga telah diwujudkan.

Agensi Berita China, Xinhua semalam melaporkan pihak berkuasa kesihatan China mengumumkan 80 kematian dan 2,744 kes penyakit radang paru-paru yang disahkan akibat koronavirus, dengan 461 kritikal.

Setakat pagi ini, empat kes koronavirus dikesan di negara ini. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus