Petisyen gesa KKM lanjut kontrak kakitangan kesihatan

Lebih 10,000 tandatangan petisyen bela nasib kakitangan kesihatan kontrak setakat jam 12 tengah hari Isnin.- Foto hiasan
Lebih 10,000 tandatangan petisyen bela nasib kakitangan kesihatan kontrak setakat jam 12 tengah hari Isnin.- Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 10,500 tandatangan berjaya dikumpul menerusi petisyen bagi membela nasib kakitangan kesihatan kontrak sektor awam setakat jam 12 tengah hari Isnin.

Petisyen yang dilancarkan golongan profesional daripada sektor tersebut bertujuan menggesa pihak kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan penyambungan kontrak dengan kadar segera dan lebih lama iaitu dua tahun kepada mereka.

Pihak tersebut mendakwa, ribuan kakitangan kesihatan kontrak ditamatkan perkhidmatan semenjak awal 2023.

“Semasa negara dilanda pandemik Covid-19, kerajaan terpaksa bertindak melantik petugas kesihatan dan perubatan yang terdiri daripada Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP), Penolong Pegawai Perubatan (PPP), Juruteknologi Makmal Perubatan (JTMP) dan juru X-ray secara kontrak dari kolej swasta untuk menyokong perkhidmatan kesihatan yang hampir lumpuh.

“Namun setelah wabak tersebut mulai reda, khidmat petugas kesihatan dan perubatan kontrak ini tidak lagi diperlukan.

“Khidmat kami mula ditamatkan berperingkat. Seramai 1,271 orang petugas telah ditamatkan bermula dari awal tahun 2023 sehingga kini dan 1,889 orang pegawai akan berhadapan nasib yang sama bermula pada Jun 2023,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pihaknya memaklumkan akan menghantar memorandum berhubung hal tersebut kepada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa di KKM Putrajaya dalam masa terdekat.