X

Kindly register in order to view this article
!

Kanak-kanak warga China hanya demam biasa, sakit tekak

Gambar hiasan.
A
A

KUALA TERENGGANU - Kanak-kanak perempuan warga China berusia 5 tahun yang didakwa dilarikan oleh ibu bapanya dari Hospital Kemaman hari ini selepas disyaki dijangkiti 2019 novel koronavirus, hanya mengalami demam biasa dan sakit tekak.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Azimi Yunus berkata, kanak-kanak itu telah dibawa untuk menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dan hasil pemeriksaan ke atasnya mendapati kanak-kanak terbabit tidak memenuhi kriteria sebagai pesakit dalam siasatan (PUI) atau sebagai pesakit koronavirus.

“Oleh itu, pihak hospital memberikan rawatan biasa kepada kanak-kanak itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Polis Terengganu mengesahkan menerima laporan mengenai seorang kanak-kanak perempuan warga China berusia 5 tahun yang disyaki dijangkiti koronavirus melarikan diri bersama ibu bapanya dari Hospital Kemaman.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, pihaknya menerima laporan itu daripada pihak hospital untuk mengesan ibu bapa dan kanak-kanak tersebut.

“Laporan tersebut dibuat pada jam 3.16 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman dan pengadu tersebut, seorang doktor mendakwa menerima pesakit kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun itu ditemani ibu bapanya warganegara China pada jam 12.34 tengah hari.

"Setelah pemeriksaan dibuat, didapati pesakit itu disyaki menghidap koronavirus dan pengadu telah memberitahu keluarganya bahawa kanak-kanak itu memerlukan rawatan susulan dan ditahan wad di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu. Pengadu kemudiannya mendapati kanak-kanak tersebut dan ibu bapanya telah menghilangkan diri,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, kanak-kanak itu tidak dilarikan tetapi berlaku masalah komunikasi dan kanak-kanak tersebut telah diambil oleh pihak polis dan hospital yang membawa ambulans di lokasi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kemaman untuk menghantarnya ke HSNZ.

Katanya, ibu bapa kanak-kanak itu merupakan warganegara China dan bekerja di kawasan projek ECRL Kemaman dan mereka telah berada di Terengganu sejak awal bulan lepas.

"Pada 21 Januari, anak itu mula demam dan menunjukkan seperti ada simptom atau disyaki koronavirus. Apabila dihantar ke Hospital Kemaman, doktor telah memaklumkan berkaitan perkara itu kepada ibu bapanya, namun ibu bapa ini tidak faham apa yang dimaklumkan oleh doktor (kerana masalah komunikasi bahasa) lalu membawa pulang semula anaknya ke kawasan projek ECRL, bukan melarikan diri.

"Saya menasihati seluruh warga Kemaman khususnya agar tidak panik. Jangan cepat mempercayai khabar angin yang tidak sahih.

Jika anak-anak demam, selesema, batuk dan sebagainya, sila bawa ke hospital dengan segera untuk mendapatkan rawatan daripada doktor yang bertauliah," katanya ketika dihubungi. - Bernama