Ancaman birokrasi dajal

A
A
A

BARU-baru ini, seorang pesakit kanser tahap keempat yang terlantar di katil ingin mengeluarkan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sebuah cawangan KWSP untuk tujuan rawatannya. Prosedur birokrasi mewajibkan setiap pengeluar untuk datang sendiri ke kaunter.

Akhirnya pesakit terpaksa diusung oleh keluarganya ke KWSP. Media sosial telah memainkan peranannya dalam menularkan ancaman birokrasi ini dengan menyertakan gambar pesakit terbaring depan pejabat KWSP.

Pihak KWSP telah memohon maaf dan berusaha untuk menambahbaik perkhidmatannya.

Namun, apakah ancaman yang kita boleh belajar dari sini? Kalau anda bekerja untuk sebuah birokrasi, akan wujud keadaan di mana anda terpaksa memilih antara dua iaitu sama ada anda memilih untuk mengikut prosedur birokrasi yang mungkin menggadaikan nilai kemanusiaan dan agama anda, atau anda memilih untuk tidak taat kepada prosedur birokrasi.

Apa yang dikatakan sebagai Zaman Revolusi Industri 4.0 sebenarnya adalah tetap zaman pemerintahan Birokrasi ke atas Manusia. Setiap agensi, kementerian, jabatan, universiti, sekolah, syarikat, parti politik, NGO, hospital, masjid, negara, sebenarnya adalah benda yang berbirokrasi.

Birokrasi ini mempunyai prosedur. Setiap agensi dinilai berdasarkan KPI yang mengawal perlaksanaannya. Pegawai KWSP berkenaan wajib ikut prosedur ini demi untuk menjaga KPI. Kalau dia tidak ikut, dia akan menghadapi ancaman hukuman.

Maka dia terpaksa memilih antara taat kepada birokrasi atau membuat apa yang patut dibuat walaupun bertentangan dengan prosedur birokrasi. Birokrasi sentiasa betul dan benar seolah-olah ia adalah al-Masih!

Cuba fikir senario ini: Seorang ulama terkenal dan muktabar di dunia memberi pengiktirafan kepada ilmu anda dalam bidang agama setelah anda belajar dengannya selama 10 tahun. Ulama ini telah mengajar anda di rumahnya secara peribadi.

Artikel Berkaitan:

Anda tidak terikat dengan mana-mana universiti dan tidak mendapat apa-apa kertas ijazah rasmi daripada sebarang universiti. Hanya pengiktirafan lisan dan bertulis daripada ulama itu tentang ketinggian ilmu anda. Ulama itu pula diiktiraf oleh semua ulama-ulama dunia.

Adakah status rasmi anda sama dengan status seorang PhD agama yang mendapat pengiktirafan birokrasi dan telah berselfie dengan topi empat segi, terima skrol universiti dan digelar ‘graduan’?

Persoalannya ialah adakah semestinya graduan yang dihalalkan oleh birokrasi akan lebih berkualiti daripada yang tiada pengiktirafan birokrasi? Apakah makna ilmu sebenarnya pada zaman Revolusi Industri ini?

Dalam sebuah hadis sahih al-Bukhari, Nabi SAW telah memberitahu tentang keadaan masa hadapan. Akan lahir budaya di mana golongan yang jahil diangkat sebagai ulama dan mufti. Rakyat akan meminta fatwa daripada para ulama itu walaupun mereka pada hakikatnya sesat dan menyesatkan.

Maknanya akan wujud kilang yang akan melahirkan ulama yang sesat dan menyesatkan ini. Bagaimana rakyat dikaburi oleh fitnah al-Masih palsu ini?

Kata kuncinya ialah prestij. Kita lihat birokrasi pada zaman kita begitu profesional dalam menjual prestij. Penuntut agama sanggup berhutang beribu-ribuan demi mendapatkan prestij ini.Pemerintahan birokrasi ini membuka jalan kepada al-Masih palsu untuk menubuhkan banyak lagi kilang-kilang ilmu yang berprestij, yang memenuhi KPI fitnah al-Masih. Keyakinan rakyat terhadap prestij itu sudah tentu akan mengkomersialkan kualiti ilmu.

Maka lahirlah profesor agama yang sebenarnya bukan ulama dari segi kualiti ilmunya tetapi berprestij sebagai ulama. Yang diutamakan ialah prestij, bukan kualiti. Bayangkan kalau profesor terulung pengajian Islam terkapai-kapai memahami komunikasi bahasa Arab yang mudah! Cuba buat ujian sendiri terhadap ilmuwan agama agar terkashaf pandangan anda!