Khadijah Transit Home ringankan beban keluarga pesakit kanser

Rohani (kanan) bersama salah seorang pesakit kanser yang bakal menerima manfaat Khadijah Transit Home.
Rohani (kanan) bersama salah seorang pesakit kanser yang bakal menerima manfaat Khadijah Transit Home.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Khadijah International Waqf (L) Foundation bersama rakan strategik Sinar Karangkraf dan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah menggerakkan projek Khadijah Transit Home dalam usaha meringankan beban keluarga pesakit kanser.

Pengerusi Khadijah International Waqf (L) Foundation, Rohani Mohd Shahir berkata, ini kerana isu penempatan antara masalah besar dihadapi keluarga pesakit kurang berkemampuan hingga ada antara mereka terpaksa tidur di dalam kereta atau koridor wad.

Menurutnya, rumah transit terletak di Plaza Rah itu disediakan buat keluarga pesakit kanser yang sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Apabila ada salah seorang ahli keluarga menghidap kanser, secara tidak langsung taraf ekonomi mereka akan menurun daripada T20 ke M40 dan seterusnya.

"Badan bukan kerajaan (NGO) atau institusi wakaf perlu memainkan peranan membantu meringankan beban mereka," katanya ketika lawatan Khadijah Transit Home di Plaza Rah di sini pada Rabu.

Rohani
Rohani

Rohani berkata, pihaknya menyasarkan menyediakan lima unit rumah transit bagi tujuan tersebut yang salah satunya telah berjaya dibeli dan dijadikan aset wakaf serta bakal beroperasi sepenuhnya dua bulan dari sekarang.

Katanya, sekurang-kurangnya RM500,000 diperlukan bagi pembelian seunit rumah transit dan dana itu diperoleh melalui pelbagai program antaranya penjualan buku 'Give To Enrich' yang 70 peratus hasil jualan disalurkan dalam dana projek tersebut.

"Kita dalam fasa mengumpul dana bagi pembelian unit-unit seterusnya. Tambahan satu lagi unit disasarkan dibeli hujung tahun ini.

"Setakat ini, lebih RM100,000 telah berjaya dikumpulkan dan memerlukan sekurang-kurangnya RM400,000 lagi bagi tujuan tersebut," katanya.

Katanya, orang ramai yang berminat untuk turut serta bagi projek wakaf rumah transit itu boleh menyumbang ke akaun Ambank Khadijah International Waqf (L) Foundation bernombor 8881033222313.

Sementara itu, Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, projek berkenaan merupakan salah satu usahasama dengan Khadijah International Waqf (L) Foundation di bawah Program Sinar Karangkraf Bersama Komuniti.

"Kami menyokong usaha yang dilaksanakan NGO terbabit kerana mempunyai misi dan objektif yang selari dengan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan Sinar Karangkraf.

"Bagi memastikan program CSR dapat dilaksanakan secara berkesan dan sampai kepada golongan sasar, kita bersetuju melaksanakan usahasama dengan Khadijah International Waqf (L) Foundation," katanya.

Beliau berkata, terdapat banyak lagi kolaborasi berbentuk CSR antara kedua-dua pihak yang akan diteruskan selepas ini bagi membantu golongan asnaf terutama warga emas dan kanak-kanak di Lembah Klang, selain turut diperluaskan ke negeri-negeri lain.

Nor Mukshar
Nor Mukshar

Dalam pada itu, Penolong Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat & Pemasaran Digital PPZ-MAIWP, Nor Mukshar Harun berkata, wakaf rumah transit dilihat satu keperluan bagi membantu keluarga pesakit yang mendapat rawatan di HKL.

"PPZ-MAIWP berperanan mengutip zakat dan pada Disember tahun lalu telah diberi satu lagi tanggungjawab untuk mengutip wakaf.

"Selain dana wakaf tunai, kini ada keperluan kepada rumah transit untuk pesakit hospital dan terdapat NGO yang bergerak ke arah it,u jadi kita bekerjasama untuk mendapat kutipan dana wakaf bagi tujuan tersebut," katanya.

Ujarnya, sekurang-kurangnya RM2 juta diperlukan bagi penyediaan rumah transit tersebut.

Orang awam yang berminat untuk berwakaf di PPZ-MAIWP boleh menggunakan platform dalam talian di wakafppz.com.my atau ke kaunter bagi projek wakaf rumah transit tersebut.