Tidak benar rakyat China lari ke Malaysia melalui Langkawi

Gambar-gambar ketibaan pelancong China yang ditularkan bersama info yang salah.
Gambar-gambar ketibaan pelancong China yang ditularkan bersama info yang salah.
A
A
A

KUALA KEDAH - Kerajaan Kedah menafikan rakyat China melarikan diri ke negara ini melalui Pulau Langkawi akibat penularan wabak koronavirus seperti yang ditularkan beberapa hari lalu.

Exco Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, penularan gambar tersebut menyebabkan kebimbangan rakyat di negara ini.

Beliau turut meminta masyarakat menyemak setiap maklumat yang diterima bagi memastikan kesahihan berita atau gambar yang tular itu.

"Saya mohon netizen jangan membuat perkara yang tidak sepatutnya kerana boleh menyebabkan rakyat kelam-kabut dengan berita yang tidak benar.

"Rakyat perlu bijak menilai gambar serta isu yang ditularkan kerana ada Kementerian Penerangan dan agensi lain untuk kita semak berita yang sahih," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Santai Sarapan Pagi DUN Kubang Rotan di Medan Selera Bilion di sini hari ini.

Mohd Asmirul (dua dari kiri) menyantuni penduduk yang datang bersarapan di Medan Selera Bilion hari ini.
Mohd Asmirul (dua dari kiri) menyantuni penduduk yang datang bersarapan di Medan Selera Bilion hari ini.

Mohd Amirul berkata demikian ketika mengulas gambar mengenai ketibaan 180 penumpang dari Nanjing, China di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi menerusi penerbangan sewa khas menggunakan pesawat Malindo Air yang tular beberapa hari lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pelancong dari China itu dibawa sebuah syarikat pelancongan pada 17 Januari lalu dan sudah pulang ke negara mereka pada 21 Januari.

Dalam pada itu, Mohd Asmirul mengakui penularan koronavirus menjejaskan kedatangan pelancong namun pihaknya giat mengalihkan promosi ke negara lain termasuk Aesan.

"Sekarang kita tidak lagi fokus kepada pelancong dari China sahaja tetapi menyasarkan pelancong dari India, Arab Saudi dan Eropah. Promosi dan aktiviti pelancongan diteruskan.

"Memang diakui akan terdapat pengurangan pelancong ke Pulau Langkawi dan sasaran kita untuk menarik seramai tujuh juta pelancong ke negeri ini sepanjang sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 juga dilihat akan sedikit tersasar," katanya.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri tetap meneruskan usaha mempromosikan pelancongan di Kedah dari semasa ke semasa.

Mohd Asmirul Anuar Aris
Mohd Asmirul Anuar Aris