X

Kindly register in order to view this article
!

Nelayan hilang ditemukan terapung

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

SANDAKAN - Seorang nelayan tempatan yang hilang sejak tiga hari lepas ditemukan terapung berhampiran Sungai Anip, Kampung Forest di sini pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, mayat itu ditemukan pada jam 6.39 pagi tadi oleh penduduk kampung berkenaan.

"Mayat dibawa ke Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sandakan untuk diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan.

“Mayat dikenal pasti sebagai Joekinal Angkalamai, 36, yang dilaporkan hilang tiga hari lepas selepas pengecaman oleh isteri dan bapa mentua mangsa yang hadir di jeti tadi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mangsa dilaporkan keluar memancing bersendirian menggunakan sampan di perairan Telukan Sandakan pada jam 10 pagi pada 23 Januari lepas dan sepatutnya pulang pada jam 5 petang hari yang sama.

Apabila mangsa tidak pulang ke rumah, isteri mangsa bertindak membuat laporan polis dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada jam 3.50 petang, 24 Januari.

Menurut Zainudin, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari ketiga hari ini turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan pencarian seluas 29 batu nautika persegi. - Bernama