Koronavirus: Negeri Sembilan saran masjid, surau buat solat hajat

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan meminta semua masjid dan surau di negeri ini mengadakan solat hajat bagi memohon dijauhkan daripada wabak koronavirus yang kini membimbangkan rakyat di seluruh negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya akan maklumkan kepada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (Jheians) mengenai perkara itu supaya solat hajat dapat dilakukan secara serentak.

"Kita memang sudah berbincang mengenai perkara ini seperti mana saranan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri supaya diadakan solat hajat bagi menyelamatkan Malaysia dilanda sebarang wabak penyakit.

"Walaupun wabak ini tiada dilaporkan di Negeri Sembilan tapi sebagai umat Islam itu inisiatif yang dapat kita lakukan. Saya juga seru supaya banyakkan berzikir dan berdoa supaya negara kita dijauhkan wabak berbahaya seperti ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Ditanya pandangannya tentang kerajaan tidak merancang untuk menyekat kemasukan pelancong China ke Malaysia buat masa ini, Aminuddin berkata, beliau percaya kerajaan berusaha lakukan yang terbaik demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, saringan di semua pintu masuk negara telah dilakukan sebagai langkah mengekang penularan koronavirus.

ARTIKEL BERKAITAN: China perluas sekatan perjalanan secara drastik

Terdahulu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ujian pengesanan dan pengesahan melibatkan tiga individu dijangkiti virus itu diperoleh daripada Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh.

Artikel Berkaitan:

Ketiga-tiganya merupakan ahli keluarga terdekat kepada lelaki berusia 66 tahun yang disahkan positif wabak berkenaan di Singapura sebelum ini.