X

Kindly register in order to view this article
!

China perluas sekatan perjalanan secara drastik

Perkhidmatan bas jarak jauh digantung di Beijing selepas angka korban kini mencecah sekurang-kurangnya 56 orang. - Foto: AFP
A
A

BEIJING - China hari ini memperluaskan sekatan perjalanan secara drastik untuk membendung penularan koronavirus yang telah meragut sekurang-kurangnya 56 nyawa dan menjangkiti hampir 2,000 individu.

Sekatan itu dikuatkuasakan di bahagian lain di negara itu termasuk operasi perkhidmatan bas jarak jauh digantung sementara di Beijing selepas Wuhan mengenakan perintah kuarantin ke atas bandar tersebut yang mempunyai populasi 11 juta penduduk.

Bandar utara, Tianjin juga mengumumkan ia bakal melaksanakan langkah sama pada hari esok.

Dalam perkembangan lain, bandar selatan Shantou mengetatkan kemasukan kenderaan dan turut menggantung perkhidmatan pengangkutan awam.

Selain itu, penumpang yang tiba di bandar itu dengan menaiki kereta api juga akan menjalani pemeriksaan dan digesa kembali ke destinasi asal masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga.

Langkah itu dibuat selepas Amerika Syarikat (AS) dan Perancis kini bersiap sedia untuk memindahkan rakyat mereka dari bandar Wuhan yang menjadi pusat penyebaran wabak mengakibatkan pneumonia atau radang paru-paru.

Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan memaklumkan mereka sedang mengatur penerbangan untuk membawa keluar kakitangan mereka di konsulat di Wuhan dan rakyat Amerika lain yang terperangkap di bandar terbabit.

Menerusi e-mel dihantar kepada rakyat mereka di Wuhan, penerbangan ke San Francisco itu dijangka berlepas pada Selasa ini dan ia turut memberi amaran ruang adalah terhad.

Difahamkan, kerajaan Perancis dan pembuat kereta PSA yang juga merancang langkah sama.

Sementara itu, Sri Lanka memaklumkan kedutaan mereka di Beijing mempertimbangkan tindakan pemindahan rakyat mereka dari Wuhan. - AFP