PhyMill bantu juruterapi, pesakit jalani rawatan fisioterapi

Dr Mohd Azrul Hisham membantu pesakit kanak-kanak menggunakan PhyMill sambil diperhatikan pakar fisioterapi, Narimah Daud (dua dari kiri) semasa serahan peralatan ini untuk kegunaan pihak Kuantan Physical Therapy-Physiotherapy Center Kuantan baru-baru ini.
Dr Mohd Azrul Hisham membantu pesakit kanak-kanak menggunakan PhyMill sambil diperhatikan pakar fisioterapi, Narimah Daud (dua dari kiri) semasa serahan peralatan ini untuk kegunaan pihak Kuantan Physical Therapy-Physiotherapy Center Kuantan baru-baru ini.
A
A
A

KUANTAN - Penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya menghasilkan alat senaman automatik Smart Physio-Treadmill (PhyMill) bagi membantu juruterapi dan pesakit kanak-kanak menjalani rawatan fisioterapi.

Inovasi itu dihasilkan khas untuk membantu pesakit kanak-kanak yang mengalami gangguan kebolehan mengawal kedudukan dan pengaktifan badan disebabkan kerosakan pada otak atau Palsi Cerebrum (Cerebral Palsy) menjalani latihan pergerakan berjalan.

Alat itu juga turut membantu juru terapi dalam melakukan latihan rehabilitasi ke atas pesakit semasa sesi fisioterapi terutamanya yang melibatkan pergerakan di bahagian bawah anggota badan.

Ketua penyelidik yang juga pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif UMP, Dr Mohd Azrul Hisham Mohd Adib berkata, PhyMill merupakan alat senaman automatik untuk melatih pergerakan berjalan bagi pesakit yang sedang menjalani rawatan.

Menurutnya, PhyMill dihasilkan sepenuhnya pasukan rehab di bawah Human Engineering Group (HEG) dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif.

Projek ini disiapkan dengan dibantu Dr Nurul Shahida Shalahim, Idris Mat Sahat, Dr Zakri Ghazalli, Dr Muhammad Hilmi Jalil dan siswazah di bawah Integrated Design Project (IDP), Afiq Ikmal Zahir, Ahmad Hijran Nasaruddin, Muhammad Shazzuan Sharudin dan Muhammad Rais Rahim.

“Penghasilan produk ini juga dijayakan dengan bantuan serta nasihat dari pakar fisioterapi, Kuantan Physical Therapy-Physiotherapy Center, Narimah Daud.

"Melalui gabungan idea antara pakar fisioterapi dan penyelidik menjadikan penghasilan PhyMill untuk lebih mudah digunakan dan memenuhi keperluan pesakit,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Mohd Azrul Hisham berkata, alat senaman automatik itu kini diserahkan untuk kegunaan Kuantan Physical Therapy-Physiotherapy Center.

Katanya, Phymill yang bersaiz kecil memudahkan ia dibawa untuk dibawa mengikut kehendak dan keperluan pesakit.

"Alat ini mempunyai tiga cara pengendalian iaitu mengawal pergerakan pesakit berjalan ke hadapan dan ke arah belakang yang dikawal secara automatik sepenuhnya dengan hanya menekan butang khas disediakan.

"Pesakit boleh melaras kelajuan berjalan mengikut aras latihan rehabilitasi yang ditentukan oleh pihak juru terapi melalui butang kawalan kelajuan yang disediakan pada alat ini," katanya.

Beliau berkata, PhyMill juga boleh dilaras ketinggiannya secara automatik sekaligus membantu pesakit untuk menentukan aras pemegang mengikut ketinggian tubuh mereka.

Selain itu katanya, ia juga turut mempunyai skrin paparan khas untuk menarik perhatian dan mengelakkan kebosanan pesakit semasa menjalankan sesi latihan rehabilitasi.

"PhyMill ini dapat digunakan oleh kanak-kanak seawal usia empat tahun sehingga tujuh tahun dan mampu menampung beban sehingga 30 kilogram.

"Melalui penghasilan alat ini diharap ia menjadi produk perintis dalam bidang perubatan rehabilitasi di Malaysia di samping berfungsi sebagai alat pemudah cara kepada juru terapi dalam mencapai hasrat ke arah sasaran “zero lifelong treatment” untuk semua pesakit," katanya.

Menurutnya, sebagai penyelidik, beliau mempunyai perancangan untuk menambah baik prototaip yang sedia ada itu terutama dari segi nilai estetik dan juga fungsinya.

"Beberapa lagi fungsi khas akan dimasukkan seperti alat kawalan jauh dan penggunaan cahaya ke atas pergerakan kaki pesakit supaya produk ini mencapai spesifikasi ke arah rawatan pergerakan aktif pesakit.

"Saya juga berhasrat untuk mengkomersialkan produk ini bagi memudahkan penggunaannya kepada pakar fisioterapi kanak-kanak di Malaysia.

"Walau bagaimanapun, kerjasama daripada pihak industri atau agensi kerajaan mahupun swasta amatlah diperlukan terutama pihak hospital dan pusat-pusat rehabilitasi," katanya.

Dr Mohd Azrul Hisham berkata, lebih membanggakan apabila produk itu turut mendapat pengiktirafan di pameran penyelidikan dengan meraih pingat perak dalam Pameran Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX 2019) dan di International Festival of Innovation in Green Technology (i-FINOG 2019).