Empat laporan polis diterima kes hina Sultan Muhammad

Sultan Muhammad V
Sultan Muhammad V
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak empat laporan telah diterima polis berhubung isu penghinaan terhadap peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, laporan ini termasuklah membabitkan tiga individu yang ditahan polis bagi disiasat mengikut Akta Hasutan 1984.

"Bagaimanapun, tiga individu ini telah dibebaskan dengan ikat jamin polis dan kertas siasatan kes akan diserahkan kepada pihak timbalan pendakwa raya.

[ARTIKEL BERKAITAN: https://www.sinarharian.com.my/article/6443]

"Kita akan tunggu keputusan timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya,"

katanya dalam sidang media selepas menghadiri 'Forum Kes Penderaan Kanak-Anak Semakin Meningkat: Adakah Undang-Undang Kurang Berkesan?' di Maktab PDRM Kuala Lumpur, hari ini.

Susulan itu, tegas Noor Rashid, isu sensitif yang ditularkan di media sosial tidak boleh dibiarkan dan pihaknya akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang ada.

Katanya, polis tidak akan membiarkan perkara sebegini dibiarkan dan tular tanpa sebarang kawalan kerana bimbang ia akan mengancam keselamatan negara.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, dalam dunia moden, media sosial digunakan sepenuhnya dengan baik dan sebaliknya, maka undang-undang perlu ditekankan bagi memastikan berita yang disampaikan tidak mengancam keselamatan negara.

"Tanggungjawab kepada individu terbabit bagi memastikan berita yang hendak disampaikan itu adalah benar dan tidak mendatangkan atau jejaskan keharmonian negara," katanya.

Terdahulu, media melaporkan tiga pemilik akaun Facebook dan Twitter yang memuat naik komen berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V berkaitan isu peletakan jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong XV ditahan, kelmarin.

Individu terbabit adalah Eric Liew Chee Ling, 45, Azham Akhtar Abdullah, 26, dan Nur Alia Astaman, 25 dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1984.

Sultan Muhammad V melepaskan jawatannya Ahad lalu dan kini Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Majlis Raja-raja menetapkan tarikh 24 Januari ni untuk mengadakan Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong.