X

Kindly register in order to view this article
!

Lagi kereta pemandu mabuk rempuh orang

Keadaan motosikal mangsa yang dirempuh awal pagi tadi. Perodua Myvi rosak teruk di bahagian hadapan dirempuh Proton Waja yang dipandu seorang lelaki mabuk.
A
A

GEORGETOWN - Dua individu cedera selepas dilanggar sebuah Proton Waja yang dipandu seorang lelaki yang berada di bawah pengaruh alkohol dalam kejadian di Jalan Ayer Itam di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam kejadian pada jam 4.10 pagi tadi, Proton Waja yang dipandu lelaki berusia 24 tahun itu datang dari arah Bulatan Ayer Itam menuju ke pusat bandar.

Menurutnya, ketika tiba di persimpangan lampu isyarat Jalan Ayer Itam dan Jalan Padang Tembak, kereta tersebut terlebih dahulu telah melanggar sebuah Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang wanita.

"Selepas melanggar Perodua Myvi yang datang dari arah simpang kiri Jalan Padang Tembak, Proton Waja tersebut telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan. Akibat daripada itu, kereta tersebut melanggar pula sebuah motosikal jenis Modenas Dinamik yang ditunggang seorang lelaki.

"Susulan daripada itu, pemandu wanita berusia 22 tahun mengalami calar di tangan, badan serta kepala manakala penunggang motosikal berusia 40 tahun cedera di kepala, badan serta kaki. Kedua-duanya kini dirawat di Hospital Pulau Pinang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Soffian berkata, pemandu Proton Waja yang tidak mengalami kecederaan ditahan untuk pemeriksaan.

"Hasil ujian alkohol ke atasnya mendapati, dia berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian. Dia kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.