Sultan Ibrahim, keluarga Diraja kunjungi kediaman Exco Johor

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar (dua, kiri) dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah (tengah) berkenan menggaul Yee Sang ketika mengunjungi rumah terbuka Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri Jimmy Puah Wee Tse (kiri) sempena Tahun Baru Cina di Senibong Cove hari ini. Baginda meluangkan masa selama sejam. - Foto Bernama

A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berangkat mengunjungi kediaman Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse, di Senibong Cove di sini hari ini sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Baginda tiba pada jam 9 pagi dengan diiringi Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Turut berangkat, anakanda baginda, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.

Ketibaan baginda disambut dengan tarian singa dan diteruskan dengan acara menggaul yee sang. Sultan Ibrahim turut berkenan mencalit dakwat di kepala singa sebagai simbolik perayaan itu sebelum bersantap.

Baginda yang meluangkan masa selama sejam turut merakamkan gambar kenang-kenangan bersama keluarga Puah sebelum berangkat pulang.

Sementara itu, Jimmy Puah yang ditemui pemberita berkata, ini adalah tahun kedua Sultan Ibrahim mengunjungi kediamannya.

"Saya menjunjung kasih atas kesudian baginda berkunjung ke rumah, baginda juga ada memberi pandangan bahawa betapa pentingnya semangat bangsa Johor yang tidak mengira kaum.

"Kehadiran baginda juga menunjukkan bahawa baginda sangat mesra dengan rakyat," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: