'Rupanya itu petanda dia akan pergi selamanya...'

MUAR - Seorang isteri tidak menyangka permintaan berulang kali suaminya supaya menyediakan pakaian bersih yang mudah digunting menjadi petanda sebelum lelaki itu pergi buat selama-lamanya.
Suaminya, penghantar makanan p-hailing, Allahyarham Muhammad Goy Wee San Abdullah, 45, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika menghantar pesanan di Melaka.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 11.30 pagi di Jalan Utama Kandang–Ayer Molek pada 10 Oktober lalu.
Allahyarham yang cedera parah kemudian dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka sebelum disahkan meninggal dunia dua hari kemudian.
Balu Allahyarham, Azira Abdul Karim, 37, berkata, dia berada di rumah ketika menerima panggilan daripada ibu saudaranya yang dimaklumkan polis mengenai kemalangan berkenaan.
“Saya fikir hanya kemalangan kecil, tetapi hati berasa tidak sedap. Saya terus mengambil kunci kereta dan bergegas ke tempat kejadian.
“Hati saya luluh melihat keadaan suami yang cedera parah sebelum dia dikejarkan ke Hospital Melaka,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di sini.
Menurut Azira, doktor yang merawat suaminya memintanya bersedia menerima kemungkinan terburuk berikutan kecederaan parah dialami Allahyarham.
“Apabila tiba di hospital, doktor meminta saya menerima dan redha dengan keadaan suami, tetapi ketika itu saya masih tidak dapat menerimanya.
“Selepas kemalangan itu, barulah saya teringat kata-katanya yang berulang kali meminta saya menyediakan pakaian bersih sebelum dia keluar mencari rezeki.
“Katanya, pakaian itu mudah digunting jika sesuatu berlaku kepadanya,” katanya.
Azira berkata, sepanjang dua minggu sebelum kejadian, suaminya turut berulang kali meminta dibawa ke Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menurutnya, Allahyarham mahu menguruskan pertukaran nama dan pindah milik kenderaan, namun dia tidak bersetuju kerana kenderaan itu adalah hasil titik peluh suaminya.
“Saya tidak menyangka semua desakan dan permintaannya itu rupa-rupanya gerak hati terakhir sebelum meninggalkan kami sekeluarga,” katanya.
Allahyarham meninggalkan Azira serta dua anak, Muhammad Azri, 15, dan Muhammad Aiman, 13.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Sungai Abong, di sini.
Terdahulu, keluarga berkenaan menerima kunjungan ahli jawatankuasa Persatuan Rakan Grab Malaysia (PRGM) yang diketuai pengerusinya, Shanlee Tan Shamsuri Tan.
Turut hadir, Pegawai Prihatin Sinergi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka, Izrawati Ibrahim.
Shanlee berkata, PRGM menggerakkan wakilnya di Melaka menerusi Timbalan Pengerusi PRGM, Muhamad Akmal Mustapa Akmar, sebaik menerima maklumat mengenai kemalangan itu.
Katanya, tindakan berkenaan dibuat bagi membolehkan bantuan segera disalurkan kepada keluarga Allahyarham.
“Antara usaha yang digerakkan PRGM adalah membantu memudahkan urusan tuntutan insurans dengan penyedia platform.
“Kami sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakan pemandu dan penghantar, terutama mereka yang terbabit dalam kemalangan.
“Ada waris yang tidak mengetahui tindakan seterusnya yang perlu diambil bagi meneruskan kehidupan,” katanya.

Beliau turut menghargai usaha PERKESO Melaka menziarahi keluarga Allahyarham dan mendapatkan maklumat bagi menyalurkan bantuan di bawah skim perlindungan sosial pekerja gig.
“Antara bantuan yang dijangka diterima ialah faedah pengurusan mayat dan pencen penakat kepada balu,” katanya. Dalam kunjungan itu, PRGM dan PERKESO Melaka menyampaikan bantuan keperluan harian serta sumbangan tunai kepada keluarga Allahyarham.
World Youth Foundation (WYF) turut menyampaikan kelengkapan persekolahan kepada dua anak Allahyarham.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
