Tugas penguat kuasa umpama guru mendidik murid

Laporan Sinar Harian kelmarin.
Laporan Sinar Harian kelmarin.
A
A
A

SEMALAM, Sinar Harian melaporkan, seorang penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ditumbuk dua kali pada pipi oleh seorang peniaga di Taman Tasik Titiwangsa, Kalau Lumpur.

Dalam kejadian Isnin lalu itu, suspek dilaporkan bertindak demikian kerana berang selepas penguat kuasa berkenaan menyita peralatan perniagaannya ekoran menjalankan aktiviti berniaga tanpa kebenaran.

Terkedu Merak Jalanan membaca laporan tersebut. Tak sangka dalam tahun 2020 yang serba moden ini masih ada manusia berkelakuan 'barbarian'.

Walhal perkara itu boleh diselesaikan secara aman sekiranya semua orang mematuhi undang-undang ditetapkan sama ada di peringkat kerajaan tempatan, negeri mahupun pusat.

Akibatnya, penjawat awam yang menjalankan tugas mengikut prosedur standard operasi jabatannya terpaksa berdepan risiko kemalangan dan mungkin juga kehilangan nyawa.

Dalam hal ini, Merak Jalanan tidak menyebelahi sesiapa, namun mereka yang melanggar peraturan perlu dihukum kerana tindakannya itu boleh memberi kesan kepada pentadbiran sesebuah kawasan.

Lagipun penguat kuasa hanya menjalankan tugas diamanahkan.

Mereka itu umpama seorang guru yang mendidik anak muridnya supaya berkelakuan baik, manakala rakyat umpama murid yang memerlukan bimbingan tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam sesebuah kawasan pentadbiran.

Artikel Berkaitan:

Jika sesuatu perkara dilakukan salah akibat terkhilaf, mereka perlu akur dengan teguran atau tindakan penguat kuasa.

Tapi jika mereka melakukan salah kerana ingkar atau degil tidak mahu mengikut peraturan, kenapa pula penguat kuasa disalahkan?

Pelaku perlu berani menanggung risiko akibat tindak tanduknya dan bukan menyalahkan orang lain atas sebab yang tidak boleh diterima akal.