[VIDEO] Tidak sampai setahun, rumah dilanda banjir lagi


Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/671211/edisi/johor/tidak-sampai-setahun-rumah-dilanda-banjir-lagi

#SinarHarian #BeritaSemasa #Banjir" />
A
A
A

PONTIAN - "Penat bersihkan rumah ketika banjir pada Oktober tahun lepas masih tidak hilang, kali ini kami diuji banjir lagi," kata pekebun, Abd Rashid Asri, 50, penduduk Kampung Sungai Moleh yang rumahnya dinaiki air sejak pagi Jumaat.

Menurutnya, hujan lebat hampir empat jam pada sebelah malam menyebabkan air Sungai Moleh melimpah dan memasuki kediamannya.

Katanya, sebelum itu air sungai sudah membanjiri halaman rumahnya kerana rumahnya terletak hanya kira-kira 100 meter dari Sungai Moleh.

Abd Rashid mengemas peralatan rumah selepas banjir mula surut pada pagi Sabtu.
Abd Rashid mengemas peralatan rumah selepas banjir mula surut pada pagi Sabtu.

"Air mula masuk dalam rumah pada jam 6 pagi. Saya sempat kemas dan pindahkan buku sekolah anak-anak dan dokumen penting ke tempat yang selamat.

"Cuma kelam-kabut memandangkan air masuk terlalu cepat dan naik paras 0.3 meter. Pada jam 9 pagi, kami sekeluarga berpindah ke Pusat Pemindahan Sementera (PPS) Pusat Kokurikulum Kampung Sungai Tempayan, Pekan Nanas," katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Abd Rashid yang mempunyai tiga orang anak berkata, rumahnya antara yang kerap dimasuki air setiap kali hujan lebat.

Abd Rashid mengemas rumah selepas air banjir mula surut.
Abd Rashid mengemas rumah selepas air banjir mula surut.

Katanya, kadang-kala mereka sekeluarga tidak lena tidur jika hujan lebat berterusan kerana bimbang air akan memasuki rumah.

"Anak sulung yang akan duduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, tinggal di asrama Sekolah Menengah Dato Bentara Luar Batu Pahat, manakala anak kedua, berusia 15 tahun di asrama Sekolah Menengah Dato Mohd Yunos Sulaiman, Pekan Nenas.

"Saya mahu kedua-dua mereka fokus dengan pelajaran tanpa perlu risaukan banjir yang kerap berlaku di rumah. Cuma anak bongsu berusia 11 tahun merupakan orang kurang upaya (OKU) tinggal bersama saya dan isteri," ujarnya.

Mohd Rashid berkata ketika banjir pada Oktober tahun lalu, banyak peralatan dalam rumah dibuang kerana rosak teruk.

Abd Rashid menunjukkan air Sungai Moleh yang masih melimpah di kawasan halaman rumahnya.
Abd Rashid menunjukkan air Sungai Moleh yang masih melimpah di kawasan halaman rumahnya.

Justeru katanya, tindakan perlu diambil untuk mengatasi banjir di Kampung Sungai Moleh termasuk membina sebuah lagi pintu air.

Sementara itu Ketua Kampung Kawasan 2 Mukim Jeram Batu/Jeram Batu, Nordin Adam menggesa kerajaan membina satu lagi pintu air berhampiran pintu air di Sungai Moleh.

Katanya pintu air tambahan itu bertujuan mempercepatkan lagi aliran air apabila berlaku hujan lebat.

Nordin Adam (kanan) menyerahkan bantuan kepada Abd Rashid ( kiri) yang berlindung di PPS Pusat Kokurikulum Kampung Sungai Tempayan, Pekan Nenas, selepas rumahnya dilanda banjir.
Nordin Adam (kanan) menyerahkan bantuan kepada Abd Rashid ( kiri) yang berlindung di PPS Pusat Kokurikulum Kampung Sungai Tempayan, Pekan Nenas, selepas rumahnya dilanda banjir.

"Ini disebabkan berlaku pertembungan air dari tiga sungai, Sungai Burung, Sungai Moleh dan Sungai Tempayan menyebabkan air tidak dapat keluar dengan cepat, " jelasnya.

Dua keluarga di Kampung Sungai Moleh masih berlindung di PPS Pusat Kokurikulum Kampung Sungai Tempayan di sini, selepas rumah mereka dilanda banjir pada Jumaat.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor memaklumkan angka penduduk terjejas kekal seramai tujuh orang pada pagi Sabtu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!