Lapor polis terhadap menteri

Ahmadi (tengah) dan Roos Hidaayu (lima, kanan) bersama Pemuda dan Puteri Rembau membuat laporan polis di IPD Seremban.
Ahmadi (tengah) dan Roos Hidaayu (lima, kanan) bersama Pemuda dan Puteri Rembau membuat laporan polis di IPD Seremban.
A
A
A
SEREMBAN - Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Rembau membuat laporan polis mendesak supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana mencetuskan ketegangan antara kaum.

Penolong Setiausaha Pemuda Umno Bahagian Rembau, Ahmadi Kasdiwinata Kasnawi berkata, desakan itu dibuat kerana kegagalan Waytha Moorthy selaku menteri yang memegang portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial, dilihat tidak mampu menguruskan isu perkauman, keagamaan dan perpaduan dengan bijak, sehingga mengundang rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, pihaknya menyokong dan selari dengan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya Waytha Moorthy meletak dan melepaskan jawatan serta bertanggungjawab dengan apa yang telah beliau lakukan sebelum ini.

“Beliau tidak layak memegang portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial, berikutan pernah memburukkan Malaysia kepada negara luar, dengan menyebarkan kenyataan palsu berupa fitnah terhadap keharmonian negara.

“Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Rembau mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan menteri tersebut yang menyebarkan kenyataan palsu terhadap negara.
Artikel Berkaitan:


“Sehubungan dengan itu, kami mendesak beliau dikenakan hukuman di bawah Akta Hasutan 1948 atas mana-mana akta berkaitan kerana menghasut dan memfitnah,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, di sini, semalam.

Hadir sama Naib Ketua Puteri Umno Bahagian Rembau, Roos Hidaayu Osman.