Reformasi perlahan hakis kepercayaan orang ramai

Dari kiri: Terence Gomez, Shah Hakim Zain dan Hussamuddin Yaacub
Dari kiri: Terence Gomez, Shah Hakim Zain dan Hussamuddin Yaacub
A
A
A

SEPANJANG bulan lalu, dua insiden besar berlaku berkaitan dengan kemajuan perlahan agenda reformasi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada 14 Mei lalu, di Forum Ekonomi Qatar (QEF) semasa temu bual bersama Bloomberg, Anwar ditanya mengenai agenda reformasi yang dilihat perlahan. Jawapan Anwar amat mengejutkan kerana katanya perubahan radikal mendadak akan menimbulkan kemarahan.

Pada 25 Mei, ketika Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menganjurkan forum untuk membincangkan langkah reformasi perlahan tersebut, seorang pengarah organisasi menyatakan bahawa tiada apa yang berlaku walaupun sudah 548 hari Anwar mengambil alih kuasa.

Bersih yang ditubuhkan pada 2005, didorong oleh ahli politik pembangkang ketika itu termasuklah mereka yang berada dalam parti dipimpin Anwar.

Langkah pemimpin itu yang tidak tergesa-gesa untuk memulakan reformasi sangat membingungkan. Pada 1998, apabila digulingkan daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri, Anwar menyeru laungan reformasi melibatkan perubahan institusi dan perundangan utama untuk mengekang jenayah rasuah, memupuk ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus.

Inilah isu yang Anwar bawa selama lebih satu per empat abad. Agenda reformasi beliau adalah faktor utama yang membuatkan partinya berkuasa.

Apa yang lebih menarik, Anwar berhujah semasa wawancara Bloomberg bahawa golongan elitis mendakwa mempunyai semua jawapan tanpa perlu berinteraksi dengan orang ramai yang mana ia merupakan kelemahan bagi demokrasi elit ideal.

Bagaimanapun, orang ramai telah bersuara dengan tegas. Sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, apabila skala rasuah meningkat yang membawa kepada kritikan terhadap kleptokrasi, seruan awam untuk reformasi juga meningkat.

Artikel Berkaitan:

Kebimbangan mengenai rasuah secara tidak disangka-sangka membawa kepada kejatuhan UMNO. Pemimpin UMNO yang bertanggungjawab seperti Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikejar oleh ahli masyarakat sivil yang bekerja dengan kerajaan baharu.

Selepas itu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) melancarkan Pelan Pencegahan Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 untuk mengekang jenayah berkenaan.

Apabila PH jatuh pada 2020, masyarakat sivil terus menekan kerajaan seterusnya untuk melaksanakan reformasi yang tersenarai dalam NACP 2019-2023 dan semasa era pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, perubahan penting berlaku, yang mana Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) dicipta untuk menangani rasuah.

Struktur Parlimen Malaysia membolehkan penubuhan KRPPM yang terdiri daripada Ahli Parlimen daripada semua parti dan ahli masyarakat sivil yang bersama-sama membantu menangani isu kepentingan negara.

Ahli masyarakat sivil KRPPM yang diluluskan Speaker Parlimen perlu membincangkan dan mencadangkan dasar serta perundangan kepada jawatankuasa Parlimen dan kerajaan.

KRPPM merangkumi wakil daripada badan bukan kerajaan (NGO), media, golongan profesional dan ahli akademik.

Walaupun banyak bidang memerlukan reformasi untuk mengekang rasuah menjelang 2022 untuk mendapatkan tindakan segera, ahli masyarakat sivil dalam KRPPM memberikan tumpuan khusus kepada lapan isu teras:

1. Pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010

2. Pindaan kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009

3. Pindaan kepada Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009

4. Penggubalan Akta Pembiayaan Politik

5. Enakmen Undang-undang Perolehan

6. Pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya

7. Pemulihan Akta Perkhidmatan Parlimen

8. Pelaksanaan penuh NACP 2019-2023

Wujudkan pemisahan kuasa

Selepas PRU pada 2022, KRPPM integriti dan anti rasuah diwujudkan serta satu siri kertas kerja yang diteliti dengan baik dan diperdebatkan secara mendalam disediakan untuk membincangkan lapan teras reformasi dengan Ahli Parlimen dan barisan menteri.

Bagaimanapun, apabila kerajaan mencadangkan penubuhan Akta Ombudsman, pelaksanaan beberapa teras itu terhenti. Walaupun Akta Ombudsman mempunyai merit, pengenalannya tidak boleh melambatkan pelaksanaan teras reformasi.

Malah, beberapa pembaharuan ini boleh dilaksanakan serta-merta seperti meminda dua undang-undang teras iaitu Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi melindungi pemberi maklumat sewajarnya serta Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang bertujuan menyemak kritikan berterusan terhadap pendakwaan terpilih.

Tidak dinafikan juga, reformasi asas adalah untuk mewujudkan pemisahan kuasa antara Pendakwa Raya dengan Peguam Negara yang menasihati kerajaan. Tanpa reformasi ini, orang ramai tidak akan mempercayai agenda reformasi yang lain.

Pemisahan kuasa ini penting kerana ia mewujudkan keseimbangan dalam eksekutif kerajaan dan memastikan pengawasan bebas terhadap tadbir urus awam.

Reformasi ini sebenarnya sebahagian daripada manifesto PH sebelum PRU 2018 yang menjanjikan ‘Malaysia Baharu’ ditadbir dengan cara berbeza daripada bentuk pemerintahan autoritarian atau separa demokratik UMNO.

Anwar turut mengulanginya dalam sesi temu bual dengan Bloomberg. Apa yang lebih penting, reformasi akan membantu mewujudkan ruang lingkup yang memberi keyakinan kepada pelabur domestik mahupun asing.

Pelabur bagaimanapun mencari persekitaran selamat untuk menjalankan perniagaan yang mana mereka tidak perlu berurusan dengan perantara politik atau amalan rasuah dalam pemerintahan.

Anwar sedar bahawa beliau kini mengawasi sistem cacat ini dan turut berdepan kesan politik dan ekonomi bagi mengekalkan rangka kerja tadbir urus itu kerana beliau pernah mengisytiharkan bahawa rasuah di Malaysia adalah endemik.

Anwar tidak patut berlengah-lengah dalam melaksanakan reformasi kerana jika tidak dilakukan segera, beliau berisiko mengurangkan kepercayaan rakyat yang mahukan akauntabiliti dan ketelusan dalam tadbir urus awam.

* Artikel dikeluarkan oleh Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub; bekas Pensyarah Politik dan Ekonomi dari Universiti Malaya (UM), Terence Gomez dan Pengasas Yayasan Cerdik, Shah Hakim Zain.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!