X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan sampai ada pasukan kedua ‘terhumban’ akibat masalah gaji

Laporan Sinar Harian berhubung amaran FAM kepada tiga pasukan supaya menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai.
A
A

BENARKAH Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak tegas dalam soal menangani isu tunggakan gaji pemain membabitkan beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga-M)?

Ada dakwaan daripada sesetengah pihak yang mengatakan FAM agak berlembut dan banyak amal sikap berkompromi sehingga pasukan-pasukan yang menghadapi masalah kewangan ini ‘naik tocang’.

Bagi Merak Jalanan, jika benar dakwaan itu, FAM sudah pasti mempunyai alasan mereka tersendiri.

Baru-baru ini, FAM tampil dengan satu kenyataan yang mampu menghadirkan ‘kecut perut’ buat pasukan terlibat.

Menerusi Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam, FAM telah memberi amaran akhir kepada tiga pasukan.

Melaka United, Kelantan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) - tiga pasukan yang diberi amaran oleh FAM gara-gara masih dipalit masalah tunggakan gaji pemain masing-masing.

Ini membuktikan badan induk bola sepak negara itu benar-benar serius dan komited dalam menangani isu yang semakin membarah ini.

Secara peribadi Merak Jalanan melihat tindakan FAM memberi amaran kepada tiga pasukan terbabit satu keputusan yang sewajarnya. Dengan tempoh tiga tarikh akhir – 31 Januari, 28 Februari dan 30 Mac – itu sudah cukup membuktikan FAM bertindak atas lunas-lunas perundangan.

Cukuplah kita lihat apa yang berlaku kepada Perlis – pasukan dari utara tanah air yang sebelum ini cukup digeruni dalam saingan Liga-M. Akibat masalah gaji, sang Singa Utara itu ‘terhumban’ akhirnya dalam kancah liga domestik.

Merak Jalanan hanya berharap – Melaka United, Kelantan dan juga PDRM tidak berada dalam senarai terbaru pasukan yang disingkirkan. Cukuplah apa yang telah terjadi kepada Perlis.

Merak Jalanan juga berharap Perlis akan kembali tampil menggegar arena bola sepak negara suatu hari nanti.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus