Pelaksanaan RCVEP tak jejas kedatangan rakyat Singapura - MDEA

Cherk Yee (berdiri, kiri) mendengar taklimat berkenaan penjagaan kesihatan sempena program Healthier Malaysian Better Malaysia di AEON Mall Kulaijaya, Kulai pada Sabtu.
Cherk Yee (berdiri, kiri) mendengar taklimat berkenaan penjagaan kesihatan sempena program Healthier Malaysian Better Malaysia di AEON Mall Kulaijaya, Kulai pada Sabtu.
A
A
A

KULAI - Sistem Kutipan Caj Jalan dan Permit Kemasukan Kenderaan Asing (RCVEP) di sempadan darat Malaysia-Singapura yang akan berkuat kuasa pada Oktober ini tidak akan menjejaskan kedatangan rakyat republik itu ke negara ini.

Presiden Persatuan Usahawan Dato-Dato Malaysia (MDEA), Datuk Seri Jacky Ker Cherk Yee berkata, proses penyesuaian serta pengenalan sistem RCVEP akan berlaku terutama pada minggu pertama kerana masih baharu tetapi tidak akan mengambil masa lama.

"Selepas itu keadaan akan menjadi normal. Tidak jadi masalah kerana rakyat Singapura macam yang kita ketahui akan mengikut sahaja sebab sudah ada satu mekanisme yang bagus.

"Saya juga percaya sistem RCVEP ini akan lebih efisien dan membantu imigresen mempercepatkan proses orang ramai keluar masuk selain ekonomi kita juga bertambah baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Healthier Malaysian Better Malaysia di AEON Mall Kulaijaya di sini pada Sabtu.

Pada 28 Mei lalu, Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan akan menguatkuasakan sistem RCVEP di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri mulai 1 Oktober.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata, sejak April 2019, MOT melaksanakan pendaftaran Permit Masuk Kenderaan (VEP) kepada pemilik kenderaan asing yang merentasi Tambak Johor serta di Laluan Kedua Malaysia-Singapura itu.

Berdasarkan rekod semasa, terdapat hanya sekitar 70,000 kenderaan motor pendaftaran Singapura berdaftar dan mengaktifkan tag VEP berbanding lebih 200,000 kenderaan motor yang telah berdaftar namun masih belum melengkapkan proses memasang dan mengaktifkan tag VEP masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau berharap, kepimpinan Singapura di bawah Perdana Menteri yang baharu, Lawrence Wong bermula 15 Mei lalu akan dapat memudah dan meningkatkan lagi kemasukan rakyat negara itu.

"Kami berharap kedua-dua kerajaan dapat bekerjasama untuk mencapai kemasukan dan pergerakan sempadan seramai satu juta orang setiap hari berbanding 200,000 orang pada masa kini.

"Salah satu cara yang mungkin boleh dipertimbangkan adalah melalui perluasan sistem kereta api yang ada pada masa sekarang, di mana kerusi-kerusi tersebut boleh ditanggalkan dan kapasiti serta kekerapan perjalanannya dapat ditingkatkan," katanya.

Melalui cadangan itu katanya, akan meningkatkan jumlah pelancong, menjimatkan masa, meningkatkan ekonomi, kecekapan tenaga kerja serta peningkatan sektor pelancongan kedua-dua negara.

Banyak sektor seperti pelancongan, makanan, penginapan, rekreasi seperti taman tema, dan lain-lain industri akan turut mendapat manfaat.

"Dengan ini, kedua-dua belah pihak akan mencapai hasil yang amat baik. Selain itu, isu yang perlu kami selesaikan adalah berkenaan gelandangan dan pengemis antarabangsa di bandar raya ini," ujar beliau.

Cherk Yee percaya peningkatan pengemis dan gelandangan tersebut melibatkan aktiviti haram daripada sindiket antarabangsa yang mengambil kesempatan dan melakukannya secara terancang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!