'Saya belanja berjuta-juta, tapi saya tak tahu ia wang SRC: Najib

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengaku di Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau telah berbelanja berpuluh juta ringgit wang yang dikreditkan ke dalam akaun bank peribadinya antara 2014 dan 2015.

Bekas Perdana Menteri berusia 67 tahun itu berkata, beliau membelanjakan setiap sen dalam akaunnya itu kerana berpendapat ia dana untuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dimilikinya.

Bagaimanapun, Najib mengekalkan pendiriannya bahawa beliau tidak tahu wang itu adalah dana SRC International Sdn Bhd.

Ketika disoal-balas oleh Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V Sithambaram, Ahli Parlimen Pekan itu bersetuju bahawa beliau telah membelanjakan RM27 juta yang dikreditkan ke dalam akaun pada Julai dan RM5 juta pada September 2014.

Sithambaram: RM27 juta masuk dalam akaun anda pada Julai, anda berkata anda tidak tahu?

Najib: Ya, Saya tidak tahu yang ia adalah wang SRC, saya hanya mengetahuinya agak kemudian.

Sithambaram: Tetapi anda membelanjakan setiap sen daripadanya?

Najib: Ya

Artikel Berkaitan:

Sithambaram: Adakah anda tahu RM5 juta masuk ke dalam akaun anda pada September?

Najib: Saya tidak tahu, masa itu

Sithambaram: Tetapi anda membelanjakan setiap sen daripadanya?

Najib: Ya

Sithambaram: Pada Disember, RM27 juta dimasukkan dalam akaun anda. Adakah anda tahu?

Najib: Pada ketika itu, saya tidak tahu.

Sithambaram: Tetapi anda membelanjakannya?

Najib: Ya, saya membelanjakannya... ia adalah dana CSR yang saya ada

Kepada soalan lain, Najib berkata, beliau tidak berasa terperanjat bila Nik Faisal Ariff Kamil, bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC tidak memberitahu beliau bahawa RM32 juta itu dipindahkan ke dalam akaunnya memandangkan Nik Faisal yang menguruskan akaunnya.

Sithambaram: Jadi pemegang mandat itu boleh saja tidak memaklumkan kepada anda mengenai jumlah dana yang besar itu masuk dan keluar daripada akaun anda, dan anda tidak berpendapat ia sesuatu yang terperanjat, benar begitu?

Najib: Ya

Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyalah guna RM42 juta dana SRC International merangkumi tiga pertuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalah guna kedudukan terhadap dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung. - Bernama