Pemandu bas maut: 'Saya tak tahu dapat pencen' - Kasmara

Kasmara menunjukkan gambar bersama suami pada ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-29.
Kasmara menunjukkan gambar bersama suami pada ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-29.
A
A
A

KOTA BHARU - "Dia minta maaf sebelum 'pergi'," kata balu kepada pemandu bas Ekspres Mutiara yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Kemaman pada 21 April lalu.

Kasmara Kadir, 48, berkata, suaminya, Allahyarham Nik Nordin Jusof ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nurzahirah, Kuala Terengganu sempat berbual bersamanya dan anak selepas pembedahan.

Ibu kepada empat anak berusia antara 13 hingga 28 tahun itu berkata, suaminya seorang yang peramah dan suka bergurau malah sempat mengucapkan terima kasih kerana menjaganya.

"Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan malah kelihatan ceria ketika kali terakhir kami bertemu pada Jumaat sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Kasmara berkongsi perkara itu ketika Lawatan Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di kediamannya di Kampung Pulau Melaka pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah Perkeso, Nora Yaakob dan Pengerusi Ekskutif Konsortium E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail.

Sebagai isteri Kasmara mengakui bimbang setiap kali suaminya keluar bekerja kerana perlu melalui perjalanan yang jauh.

Bercerita mengenai hari kejadian, Kasmara berkata, dia menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang menggunakan nombor telefon suaminya kira-kira jam 1.30 tengah hari.

"Dia memaklumkan bahawa suami saya terlibat dalam kemalangan sebelum saya memberitahu anak kedua, Nik Muhammad Haris, 26, dan kami terus bergegas ke hospital.

Bagaimanapun, Nik Nordin meninggal dunia pada hari raya kedua kira-kira jam 4.02 minit pagi ketika sedang menerima rawatan.

Kasmara turut memberitahu, arwah suaminya 'meninggalkan' keluarga melalui caruman Perkeso oleh syarikat Konsortium E-Mutiara sekali gus dapat meringankan bebannya yang tidak bekerja.

"Sebelum ini kami ada bercerita mengenai caruman Perkeso tetapi saya menyangka hanya diberikan sekali sahaja jumlah tuntutan dan tidak tahu langsung mengenai pencen ini," ujarnya.

Kasmara yang reda dengan pemergian suami menerima pencen penakat sebanyak RM1,310 sebulan selain Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000.