'Kadar tambang bas sekolah, ekspres tak patut naik'

Anthony
Anthony
A
A
A

GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Pengusaha bas sekolah dan bas ekspres tidak sepatutnya menaikkan kadar tambang susulan pengumuman kenaikan harga diesel di semua stesen runcit di Semenanjung Malaysia berkuatkuasa pada 10 Jun lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pengusaha bagi kedua-dua jenis bas itu tidak terkesan dengan kenaikan bahan api tersebut kerana telah diberi subsidi diesel.

"Kenaikan kadar tambang tak sepatutnya berlaku, subsidi diesel ini terus diberikan kepada pengusaha bas ekspres dan bas sekolah. Mereka tidak terkesan susulan daripada kenaikan harga diesel.

"Ini kerana, mereka sudah menerima subsidi dan tidak ada perubahan dari segi itu kerana mereka diberikan kad fleet dan harga Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 iaitu pengusaha bas ekspres dan sekolah kekal pada harga RM1.88 seliter.

"Jadi apa yang mendorong mereka nak naikkan harga? Jika soal ini digunakan sebagai alasan untuk menaikkan harga tambang bas sekolah atau bas ekspres, itu tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan 57th ASEAN Senior Transport Offical Meeting (STOM) pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi bas ekspres, kadar tambang tidak boleh dinaikkan sesuka hati kerana ia adalah di bawah seliaan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

"Bagi bas sekolah pula, kita tidak kawal harganya, cuma kita galakkan perbincangan antara pengusaha bas sekolah dengan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Artikel Berkaitan:

"Sementara itu, bagi bas persiaran, ia adalah untuk kegunaan untuk pelancongan iaitu bagi pelancong asing, bukan untuk kegunaan harian, jadi tidak ada subsidi untuk sektor pelancongan.

"Kos pelancongan di negara kita memang cukup kompetitif, mungkin ada sedikit kenaikan kos untuk pelancong asing namun saya rasa ia boleh diterima untuk pelancong asing," katanya.

Sebelum ini, ada ura-ura mengenai kemungkinan berlaku kenaikan tambang bas ekspres, bas sekolah dan bas persiaran selepas pengumuman kenaikan harga diesel di Semenanjung yang melebihi 50 peratus bermula pada Isnin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!