Kerajaan hanya kawal selia kadar tambang bas ekspres ekonomi

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengesahkan, pengadu yang mendakwa terpaksa membayar tambang bagi laluan Gopeng-Johor Bahru dengan harga cekik darah berjumlah RM241 telah memilih perkhidmatan bas ekspres eksekutif.

Menurut APAD, harga tambang bagi perkhidmatan bas ekspres eksekutif adalah berdasarkan penawaran dan permintaan selari dengan musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Jelasnya, kadar tambang siling bagi jenis eksekutif adalah berbeza dengan perkhidmatan bas ekspres jenis ekonomi yang dikawal selia dan ditetapkan kerajaan.

"Kadar tambang lantai bagi perkhidmatan bas ekspres jenis eksekutif berdasarkan penawaran dan permintaan.

"Berdasarkan ketetapan ini, pihak syarikat bas ekspres dipertanggungjawabkan untuk mengenakan tambang yang bersesuaian selari dengan jenis perkhidmatan yang ditawarkan.

"APAD ingin mengingatkan kepada orang ramai untuk membuat pilihan bijak semasa membeli tiket bas kerana harga tiket adalah berbeza mengikut jenis perkhidmatan yang ditawarkan kepada penumpang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Media melaporkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pengangkutan bertindak tegas terhadap syarikat perkhidmatan bas ekspres termasuk menggantung lesen susulan terdapat aduan sepasang suami isteri terpaksa membayar lebih RM800 untuk perjalanan dua hala dari Gopeng, Perak ke Johor Bahru baru-baru ini.

Pengguna terbabit mendakwa dikenakan bayaran antara 270 peratus hingga 344 peratus berbanding harga biasa RM70 untuk setiap penumpang bagi satu hala.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, APAD berkata, sebarang kenaikan atau ketetapan harga bagi perkhidmatan bas ekspres jenis ekonomi perlu dirujuk kepada APAD terlebih dahulu.

Justeru, pihak pengendali diingatkan tidak menaikkan harga tambang ekonomi sesuka hati tanpa kebenaran APAD.

"Pihak APAD tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengendali yang mengenakan caj tambang tambahan yang tidak munasabah dan membebankan pengguna.

"Sememangnya APAD memandang serius terhadap mana-mana pengendali berlesen kenderaan perkhidmatan awam yang tidak mematuhi ketetapan syarat-syarat lesen dan boleh dikenakan tindakan tegas ke atas syarikat berkenaan sama ada penggantungan atau pembatalan lesen di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715)," katanya.