Cubaan seleweng diesel saat akhir gagal

Beberapa anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Dungun memeriksa minyak diesel yang disyaki diseleweng. Foto KPDN Terengganu
Beberapa anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Dungun memeriksa minyak diesel yang disyaki diseleweng. Foto KPDN Terengganu
A
A
A

DUNGUN - Cubaan seorang pemandu lori menyeleweng minyak diesel pada saat akhir gagal apabila ditahan menerusi Ops Tiris 3.0 di sebuah stesen minyak di Paka pada Ahad.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, lelaki tempatan berumur lingkungan 40-an itu ditahan oleh lima anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Dungun kira-kira jam 9.50 malam.

"Mereka telah berjaya mengesan seorang pemandu lori yang sedang mengisi minyak diesel ke dalam tong plastik yang ditempatkan di bahagian kargo lori berkenaan.

"Hasil maklumat awal diterima, pemandu lori tersebut sering membeli minyak diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak sekitar Kerteh dan Paka.

"Minyak diesel itu kemudiannya akan diisi di dalam tong-tong plastik berkapasiti 25 liter yang dipercayai digunakan untuk pengoperasian jentera berat bagi kerja-kerja mengorek pasir," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Saharuddin berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan lori itu telah menjumpai tujuh tong plastik berisi minyak diesel anggaran 140 liter.

Minyak diesel diisi di dalam tong plastik berkapasiti 25 liter yang dipercayai untuk pengoperasian jentera berat bagi kerja-kerja mengorek pasir.
Minyak diesel diisi di dalam tong plastik berkapasiti 25 liter yang dipercayai untuk pengoperasian jentera berat bagi kerja-kerja mengorek pasir.

Menurutnya, sebuah lori serta empat unit 'water pump' dan beberapa dokumen berkaitan yang ditemui di lokasi kejadian telah disita bagi siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM98,371.

"Pemandu itu telah ditahan bagi membantu siasatan.

"Siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti itu serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut," jelasnya.

Saharuddin berkata, pihaknya memberi amaran keras kepada semua yang berkaitan selain menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram tersebut.

Justeru, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak kementerian melalui saluran termasuk WhatsApp di talian 019-848 8000 atau Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my.

Pada Ahad, kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter bermula Isnin selaras dengan pelaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!