15 kakitangan perubatan dijangkiti wabak misteri di China

China telah mengklasifikasikan wabak tersebut dalam kategori sama seperti SARS yang menular di negara itu pada 2002-03. - FOTO: AFP
China telah mengklasifikasikan wabak tersebut dalam kategori sama seperti SARS yang menular di negara itu pada 2002-03. - FOTO: AFP
A
A
A

BEIJING - China mengesahkan wabak baharu seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) boleh disebarkan antara manusia selepas jumlah kes jangkitan meningkat selain angka kematian mencecah enam orang.

Pengumuman itu dibuat saintis terkenal di Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, Prof Zhong Nanshan lewat semalam susulan penularan wabak tersebut yang pertama kali dilaporkan di pasar borong makanan laut Huanan di Wuhan pada bulan lalu.

Menurut Nanshan, pesakit boleh dijangkiti virus itu walaupun tidak berkunjung ke Wuhan.

“Seramai 15 kakitangan perubatan telah dijangkiti,” katanya tanpa memberi butiran lanjut sama ada beliau merujuk kepada kes di Wuhan.

Di wilayah selatan Guangdong, dua pesakit dilaporkan dijangkiti melalui ahli keluarga yang berkunjung ke Wuhan.

Virus korona terbabit kini telah menular di Jepun, Thailand dan Korea Selatan dan menjangkiti lebih 300 individu di China.

Kebimbangan semakin meningkat berikutan ia terdapat persamaan kira-kira 80 peratus genetik SARS yang meragut hampir 650 nyawa di China dan Hong Kong pada 2002-2003.

Kes jangkitan pneumonia atau radang paru-paru itu turut disahkan di Shanghai dan lima lagi disahkan positif di Beijing.

Artikel Berkaitan:

Di Australia, seorang lelaki yang berkunjung ke Wuhan dan menunjukkan simptom jangkitan telah diasingkan sementara menunggu ujian pemeriksaan ke atasnya.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenal pasti haiwan sebagai sumber utama yang mungkin menyebarkan virus tersebut, namun ia tidak menolak kemungkinan berlaku penyebaran antara manusia.

Susulan itu, jawatankuasa kecemasan utama agensi tersebut akan bertemu hari ini untuk menentukan sama ada langkah mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam antarabangsa perlu dilaksanakan.

WHO pernah menguatkuasakan langkah tersebut ketika penularan wabak selesema babi (H1N1) pada 2009 dan Ebola yang menjejaskan sebahagian besar Afrika Barat pada 2014 hingga 2016.

Sementara itu, kerajaan China mengumumkan ia kini mengklasifikasikan wabak tersebut dalam kategori sama seperti wabak SARS yang bermakna pengasingan adalah wajib kepada mereka yang disahkan positif dan potensi untuk melaksanakan langkah kuarantin terhadap perjalanan.

Semalam, Presiden Xi Jinping berkata, virus tersebut perlu dibendung dengan segera dan segala maklumat perlu dikeluarkan tepat pada masanya.

Beijing pernah didakwa cuba menyembunyikan wabak SARS pada 2003, namun beberapa pakar memuji tindakan cepat China mendedahkan tentang ancaman virus korona baharu tersebut.

Sehingga kini, hampir 300 kes jangkitan telah direkodkan di Wuhan dan bandar tersebut mengambil langkah segera menguatkuasakan penyeliaan terhadap pasar dan hab pengangkutan awam dengan lebih ketat.

Selain itu, langkah pemeriksaan khas turut dilaksanakan di lapangan terbang di Australia, Singapura, Amerika Syarikat dan Thailand malah pegawai kesihatan di Hong Kong turut memperluaskan langkah tersebut kepada mereka yang tiba dari wilayah Hubei, China.

Jumaat lalu, saintis di Pusat MRC untuk Analisis Penyakit Berjangkit Global di Imperial College di London memberi amaran menerusi laporan mereka bahawa jumlah sebenar kes jangkitan di Wuhan mungkin mencecah hampir 1,700 iaitu lebih tinggi daripada angka yang dilaporkan. - AFP