Melaka akan laksana catuan bekalan air: Adly

Adly Zahari
Adly Zahari
A
A
A

MELAKA TENGAH - Melaka bercadang untuk melaksanakan catuan bekalan air secara berjadual sebagai langkah penjimatan dan mengawal penggunaan sumber air mentah di negeri ini.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, catuan bekalan air itu akan dibuat bagi mengelakkan bekalan air mentah terputus berikutan paras air di empangan utama mengalami pengurangan selain memastikan empangan serta kolam takungan tidak terus berada paras kritikal.

Bagaimanapun menurutnya, keputusan mengenai perkara itu akan diputuskan pada mesyuarat mingguan Exco esok selepas menerima perkembangan terkini paras air daripada pihak yang berkaitan termasuk Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) serta Badan Kawal Selia Air (BKSA).

"Paras air sekarang ini pada kadar 46 peratus dan kita tahu kadar ini adalah kadar di mana kita harus melakukan penjimatan.

"Esok kita akan mendapatkan perkembangan terkini paras air sebelum diputuskan sama ada perlu atau tidak kita buat catuan berjadual dan kita juga akan beri beberapa cadangan serta kaedah bagi kita memastikan bekalan air tidak terganggu secara keseluruhannya," katanya.

Adly berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Kolej Al-Quran Sayyidina Ali yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di Bukit Katil di sini hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Omar Jaafar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan.

Sebelum ini Adly berkata, pihaknya akan mengambil pendekatan terbaik bagi melindungi keperluan rakyat yang kini berdepan isu air memandangkan keadaan cuaca panas berpanjangan dijangka berterusan sehingga April depan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Adly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil berkata, pelajar lepasan sekolah aliran tahfiz semakin diperlukan dan mendapat tempat di hati masyarakat termasuk dunia kerjaya kerana golongan itu mampu berperanan dalam pembangunan ummah.

"Sebenarnya mereka sentiasa diperlukan terutama bagi sektor pendidikan al-Quran, kaunseling malah media perdana.

"Maka pelajar -pelajar tahfiz tidak perlu risau untuk mendapat pekerjaan kelak," katanya.