'Tiada peluang hidupkan semula kegiatan kongsi gelap'

Abdul Hamid (tengah) tiba pada Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Briged Utara Pasukan Gerakan Am Tahun 2020 di Briged Utara Ulu Kinta hari ini.
Abdul Hamid (tengah) tiba pada Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Briged Utara Pasukan Gerakan Am Tahun 2020 di Briged Utara Ulu Kinta hari ini.
A
A
A

HULU KINTA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil langkah untuk patahkan cubaan menghidupkan semula kegiatan kongsi gelap.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya tidak akan membiarkan budaya liar itu kembali berleluasa sepertimana yang berlaku sejak zaman 60-an lagi.

“Kita tidak mahu budaya kongsi gelap ini hidup kembali dalam negara seperti tahun 60-an, 70-an dan 80-an. Tidak boleh biarkan apa jua kongsi gelap bergiat dalam negara, kita akan patahkan.

“Kumpulan ini akan melakukan segala-segalanya demi mendapatkan duit seperti mengawal premis hiburan dan macam-macamlah perkara yang tidak sepatutnya dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Briged Utara Pasukan Gerakan Am Tahun 2020 di Briged Utara Ulu Kinta di sini hari ini.

Menurutnya, kumpulan itu bergerak atas nama kesatuan hingga boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Mereka melanggar undang-undang atas nama bahawa mereka ada kesatuan, ahli-ahli boleh menakutkan orang lain.

“Kecenderungan untuk melakukan kesalahan amatlah besar apabila mereka bergabung dan menggelar diri mereka geng itu dan ini.

Memang itulah kebiasaan kongsi gelap lakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai tangkapan ahli Pertubuhan Amal Kebajikan Insan Sejagat (PAKIS) Sabtu lalu, Abdul Hamid berkata, siasatan lanjut masih diteruskan termasuk menyemak kembali rekod jenayah lampau setiap ahli kumpulan.

“Akan disiasat latar belakang mereka apakah kesalahan atau rekod jenayah yang ada pada mereka sebelum ini.

“Jabatan Siasatan Jenayah akan mengambil langkah paling drastik sekali untuk mendapatkan hukuman maksima ke atas mereka,” katanya.

Memetik laporan Berita Harian semalam, Seramai 114 individu dipercayai ahli kongsi gelap PAKIS termasuk ketua mereka dikenali sebagai ‘Ayah Bos’, ditahan polis dalam serbuan di Jalan Genting Klang Sabtu lalu.

Dalam serbuan itu, kumpulan terbabit dipercayai sedang bersiap sedia untuk menyertai majlis angkat sumpah yang diadakan di sebuah premis.

Polis turut merampas empat bilah pedang, kayu cota, buku borang pendaftaran ahli Badan Amal Tarbiyah Sejagat Malaysia (Batas) serta enam al-Quran dan sejadah yang dipercayai bagi tujuan majlis angkat sumpah atau ‘baiah'.