Sanggup lupakan hasrat gaji besar demi jaga ibu ayah
JEMPOL - Seorang pemuda sanggup melupakan hasratnya untuk mencari pekerjaan tetap dan bergaji besar semata-mata untuk menjaga kedua ibu bapanya di kampung.
Malah anak bongsu daripada lima beradik, Mazuan Zainal Abidin, 34, tidak kisah dengan pandangan masyarakat bahawa tindakannya itu seolah-olah mensia-siakan tempoh enam tahun pengajian bagi mendapatkan diploma dan ijazah,12 tahun lalu.
Mazuan sebelum itu aktif berkongsi rutin hariannya sebagai anak bongsu termasuk mengenai kepekaan masyarakat berhubung anak-anak autisme di aplikasi TikTok sehingga meraih puluh ribuan tontonan.
Mazuan berkata, dia bersyukur ibunya, Thum Mansor, 66 dan ayah, Zainal Abidin Maarof, 69, masih dikurniakan kesihatan yang baik.
"Mula-mula agak berat keputusan saya untuk berhenti kerja, tetapi ketika itu kakak dan abang semua sudah bekerja serta berpindah keluar dari rumah, maka tinggal mak dengan abah berdua.
"Masa itu atas rasa tanggungjawab, saya rasa mungkin ini waktunya untuk saya menjaga kedua orang tua saya," katanya yang merupakan bekas eksekutif di sebuah syarikat swasta di ibu kota.
Mazuan yang merupakan anak peneroka Felda Raja Alias di sini berkata, dia tidak menafikan banyak stigma negatif daripada masyarakat apabila belajar tinggi tetapi tinggal di kampung.
"Apa yang mereka nampak saya hanya tinggal di rumah tidak berkerja dan dikatakan menjadi bebanan kepada mak abah serta tiada masa depan.
"Tetapi sebenarnya tidak...saya menggunakan media sosial untuk berniaga secara kecil-kecilan dalam talian. Alhamdulillah hasil duit itu saya buat bayar bil-bil rumah dan juga duit belanja barangan dapur.
"Bagaimanapun,pandangan positif pun ada. Mereka beranggapan apa yang saya lakukan, sesuatu yang patut dibanggakan, bukan semua orang mampu korbankan masa depan untuk bersama orang tua mereka," katanya.
Mengenai bahan kandungan media sosial TikTok berkaitan rutin anak bongsu, Mazuan berkata, ia adalah realiti kehidupannya.
"Mungkin ada yang anggap, bila anak bongsu, anak yang terlalu dimanjakan,tidak tahu membuat kerja rumah tetapi saya nak tunjukkan sebaliknya kerana anak bongsu juga, anak yang bertanggungjawab, boleh membuat semua kerja rumah dan boleh menjaga orang tua mereka," katanya.
Terdahulu, beberapa video yang dikongsi Mazuan mengenai anak saudaranya, Mohd Arrayyan Mohd Najib yang kini berusia lapan tahun yang merupakan kanak-kanak autisme mendapat perhatian umum.
Mazuan mengambil inisiatif berkongsi rakaman litar tertutup (CCTV) yang memaparkan anak saudaranya itu yang sering melarikan diri keluar dari rumah mereka selain mahu orang ramai peka dan punyai rasa tanggungjawab mengenai golongan istimewa.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!