Kerajaan utamakan penambahbaikan jaringan kereta api

Kamarudin Jaffar
Kamarudin Jaffar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usaha penambahbaikan jaringan kereta api dan perkhidmatannya sentiasa menjadi keutamaan kerajaan memandangkan ia akan meningkatkan penggunaan awam dan pengangkutan barangan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, perkhidmatan kereta api di Malaysia masih dianggap tidak digunakan secara optimum.

Menurutnya, kerajaan berharap lebih ramai rakyat di negara ini menggunakan kemudahan itu pada masa depan, khususnya apabila projek kereta api utama siap sepenuhnya.

Beliau berkata, beberapa projek berskala besar sedang dibangunkan di Lembah Klang seperti Transit Aliran Massa Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya dan projek Transit Aliran Ringan 3, yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi di samping meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang.

“Walaupun sistem pengangkutan awam yang cekap merupakan pemangkin pertumbuhan namun pemacunya bergantung kepada komuniti perniagaan.

“Memandangkan kebanyakan anda di sini merupakan warga sektor swasta, saya menyeru anda membuat pertimbangan serius untuk mengembangkan operasi perniagaan anda ke negeri-negeri dan bandar-bandar lain sekali gus membantu mewujudkan pekerjaan baharu untuk rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Forum Prospek Ekonomi dan Strategik Malaysia 2020 di sini hari ini.

Kamarudin berkata, bagi memastikan kesalinghubungan di kawasan bandar, kerajaan juga memperluas liputan pengangkutan awam termasuk memperkenalkan tiga laluan baharu tahun lepas bagi perkhidmatan bas percuma GoKL.

Beliau menjelaskan kesalinghubungan bagi perjalanan pengguna menerusi pengangkutan awam sentiasa menjadi cabaran dalam sektor pengangkutan.

Artikel Berkaitan:

"Antara strategi untuk menyelesaikannya adalah melalui usaha memanfaatkan teknologi baharu dalam Revolusi Industri Keempat seperti Internet Pelbagai Benda, pembelajaran mesin, analisis data raya dan pengkomputeran awan.

“Contohnya ‘e-hailing’ merupakan antara penyelesaian bagi perjalanan pengguna. Dalam era digital hari ini, ‘e-hailing’ bukan hanya sebagai penyelesaian pengangkutan, malah berperanan dalam aspek lebih luas termasuk pembayaran lancar dan pewujudan pekerjaan, serta membentuk gaya hidup dan ekonomi,” katanya.

Kamarudin berkata, kerajaan juga telah memulakan program pembuktian konsep bagi perkhidmatan teksi motosikal sejak awal Januari di dalam Lembah Klang.

Beliau berkata, tempoh percubaan adalah enam bulan dengan matlamat untuk menilai kebolehlaksanaan serta kesesuaian budaya bagi perkhidmatan teksi motosikal mengikut konteks tempatan.

"Kerajaan juga perlu memastikan kesaksamaan dan keseimbangan di dalam industri pengangkutan khususnya antara pengendali perkhidmatan pengangkutan awam dalam semangat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030," katanya.

Langkah yang diambil kerajaan termasuklah memastikan tahap persaingan lebih baik di dalam industri teksi dan ‘e-hailing’ seperti memberi pilihan kenderaan dan model untuk kegunaan teksi.

Forum satu hari itu dianjurkan bersama Institut Strategi bagi Asia Pasifik Kingsley, Kelab Ekonomi Kuala Lumpur serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia.- Bernama