Edar dadah: Dua lelaki dihukum gantung sampai mati

Tertuduh didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Tertuduh didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua lelaki dijatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah atas pertuduhan masing-masing melibatkan kes pengedaran dadah di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, di sini hari ini.

Tertuduh, Syed Ibrahim Shahul Hameed, 40, yang juga warga India didapati bersalah mengedar dadah jenis ketamin seberat 7 kilogram, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan dan berjaya membuktikan tertuduh melakukan kesalahan terbabit.

Terdahulu, Syed Ibrahim didakwa melakukan kesalahan tersebut di Unit Pemeriksaan Penumpang, Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Nerus, kira-kira jam 8.55 pagi, 29 April 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Putrajaya, Mohd Yazid Sairi, manakala tertuduh diwakili peguam Aziz&Co.

Media sebelum ini melaporkan Kastam Terengganu menahan seorang lelaki warga negara India bersama dadah jenis ketamin bernilai RM700,000 di LTSM.

Lelaki terbabit yang menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Bengaluru, India untuk ke Kuala Terengganu dengan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari sama ditahan ketika mengambil bagasi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu di mahkamah sama, Mohd Zakaria Awang, 49, turut dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana mengedar dadah jenis methamphetamine, empat tahun lalu.

Keputusan tersebut dibuat selepas tertuduh yang juga pengawal keselamatan didapati bersalah mengedar dadah berbahaya iaitu jenis methamphetamine seberat 260.98 gram di tepi Jalan Pinang berhampiran simpang tiga Perumahan Cenderawasih Taman Bukit Kuang, Kemaman, jam 11 malam, pada 10 November 2016.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud, manakala tertuduh diwakili peguam, Nik Mohd Radhia Nik Abdul Ghani.