Kontrak konsesi air Kedah terbuka

Zamri (dua dari kiri) ketika melakukan gimik pelancaran Kempen #Jimat Jangan Bazir di pekarangan Muzium Negeri Kedah.
Zamri (dua dari kiri) ketika melakukan gimik pelancaran Kempen #Jimat Jangan Bazir di pekarangan Muzium Negeri Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah memutuskan tidak akan menyambung kontrak konsesi air kepada Air Utara Indah Sdn Bhd (AUISB) dan Taliworks Sdn Bhd (TLSB) sebaliknya membuka kontrak kepada sesiapa yang mampu memberikan tawaran terbaik dalam aspek pengurusan air di negeri itu.

Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga, Datuk Zamri Yusuf berkata, kontrak konsesi dengan dua syarikat berkenaan akan tamat tahun ini.

"Memang kontrak konsesi akan tamat (habis kontrak) pada tahun ini. Kita akan lihat dan teliti pula pihak yang banyak memberi tawaran dalam membantu untuk menguruskan air.

"Selain itu, kita juga dalam fasa migrasi kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAP). Jadi dalam fasa ini tidak akan ada fasa perjanjian lain yang lebih panjang dari tiga tahun," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen #Jimat Jangan Bazir di pekarangan Muzium Negeri Kedah, di sini hari ini.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Masyarakat India, Perpaduan dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, R Summugam.

Menjelaskan lanjut Zamri berkata, selepas ini pihaknya memastikan tidak akan ada lagi perjanjian yang memakan tempoh selama 30 tahun.

"Kontrak adalah terbuka kepada sesiapa. Walaupun banyak tawaran diterima namun pihaknya akan meneliti tawaran terbaik dan yang boleh menguntungkan Kedah dalam pengurusan bekalan air," katanya ketika diminta mengulas mengenai kontrak terhadap AUISB dan TLSB.

Hari ini, Sinar Harian melaporkan desakan Pas Kedah supaya kontrak dua syarikat konsesi air itu yang akan tamat tahun ini tidak disambung semula.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pembangkang Dun Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Perjanjian konsesi rawatan air kepada AUISB di lima Loji Rawatan Air (LRA) utama akan tamat pada 31 Julai ini.

Muhammad Sanusi berkata, begitu juga, kontrak konsesi pengendalian bekalan air di Pulau Langkawi kepada TLSB yang akan tamat pada 31 Oktober tahun ini.