Undang-undang bukan mainan

A
A
A

Negara ini seakan-akan telah hilang kawalan. Konsep rule of law yang diuar-uarkan seakan-akan tiada nilai juga. Banyak undang-undang negara kita yang wujud hari ini seperti ditolak tepi apabila melibatkan seseorang individu ternama atau berpengaruh.

Melihatkan senario yang lahir pada hari ini, kita sepatutnya risau dengan perkembangan rule of law yang dicanangkan. Banyak isu yang sepatutnya dilihat sebagai mempunyai kes untuk dibawa ke muka pengadilan, akhirnya didiamkan begitu sahaja daripada dibicarakan.

Malah ada kes yang sepatutnya tidak wajar dibawa ke mahkamah seperti kes fitnah jenayah terhadap seorang wartawan wanita yang telah menuduh seorang doktor lelaki mencabulnya di Twitter, pula dibawa ke mahkamah.

Walaupun kes tersebut kemudiannya digugurkan, tetapi kes tersebut tidak langsung wajar untuk dibawa ke mahkamah pada asalnya. Sebaliknya, si pelaku yang dituduh sebagai mencabul itulah yang wajar disiasat sepenuhnya (walaupun polis mengatakan tiada cukup bukti untuk mendakwa pelaku tersebut).

Kes video seks songsang melibatkan seorang politikus juga tidak diteruskan apabila kononnya gambar video tersebut tidak jelas. Sedangkan banyak lagi kes jenayah yang menggunakan rakaman CCTV sebagai bukti utama tetap diteruskan pendakwaan di mahkamah.

Malah, banyak antara rakaman CCTV yang dijadikan bukti di mahkamah tidak begitu jelas dan tinggi kualiti dan definisinya, tetapi masih diteruskan pendakwaan dan ada yang diterima mahkamah.

Sebaliknya yang berlaku kepada video seks songsang tersebut. Orang awam boleh nampak wajah si pelaku dengan jelas, tetapi masih dikatakan sebagai tidak jelas dan tidak boleh dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan.

Rakyat semakin keliru dengan apa yang berlaku pada hari ini. Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan seakan tidak masuk akal kepada banyak orang.

Artikel Berkaitan:

Bagaimana rakyat hendak terus percaya kepada sistem keadilan dan kehakiman di negara ini jika terlalu banyak perkara yang menggusarkan berlaku, malah kesangsian rakyat juga bukannya tidak bersebab.

KeadilanAdakah apa yang dicanangkan sebagai rule of law oleh pemerintah pada hari ini adalah satu mainan kepada mereka? Apakah perbezaan pemerintah pada hari ini dengan pemerintah sebelumnya jika masing-masing kekal mempermainkan undang-undang di negara ini?

Amat menyedihkan apabila sesuatu perkara yang penting seperti sistem keadilan dan kehakiman di negara ini seaperti direndah-rendahkan dengan tindak-tanduk pemerintah pada hari ini.

Peguam Negara yang kita ada pada hari ini juga dilihat seperti tidak cukup efisien. Banyak perkara yang sepatutnya dalam kawalan beliau, tetapi beliau seakan langsung tidak tahu menahu dengan apa yang sedang berlaku. Itulah padah apabila kita mengambil ‘orang luar’ daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) itu sendiri untuk mentadbir AGC tersebut.

Sedangkan masih banyak pegawai-pegawai atasan di AGC yang sebenarnya berkelayakan untuk mengetuai AGC. Apabila orang yang langsung tidak tahu menahu dengan keadaan dan prosedur dalaman AGC telah dilantik mentadbir AGC, maka banyak perkara yang tidak keruan berlaku.

Apatah lagi orang yang dilantik bukanlah seorang peguam yang mempunyai latar belakang peguam jenayah yang kuat. Sedangkan AGC seharusnya ditadbir oleh seorang yang mempunyai latar belakang guaman jenayah yang kuat kerana AGC banyak melibatkan isu pendakwaan (walaupun turut ada perkara melibatkan guaman sivil).

Saya bukanlah orang yang paling berhak untuk melontarkan kritikan terhadap Peguam Negara hari ini, tetapi saya sekadar mewakili beberapa suara orang awam yang tidak faham dengan apa yang sedang berlaku di AGC dan juga konsep rule of law di negara ini.

*Haeme Hashim ialah peguam di Haeme Hashim & Co.