'Tiada apa yang perlu dipertikaikan'

Mohd Termizi memegang potret Mohd Shahrizan yang telah berkhidmat dalam TLDM sejak 20 tahun lalu. Foto fail
Mohd Termizi memegang potret Mohd Shahrizan yang telah berkhidmat dalam TLDM sejak 20 tahun lalu. Foto fail
A
A
A

IPOH - Keluarga Mohd Shahrizan Mohd Termizi, 41, pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas 23 April lalu menerima dengan hati terbuka laporan akhir nahas dikeluarkan Lembaga Siasatan.

Bapanya, Mohd Termizi Abdul Ghani, 68, berkata, tiada apa yang perlu dipertikaikan kerana semua dapatan laporan tersebut dikeluarkan hasil siasatan yang terperinci.

"Saya sudah baca laporan itu dan bagi saya tak perlulah kita buat sebarang andaian atau spekulasi lagi.

"Pihak TLDM sudahpun meneliti sepenuhnya, maka mereka lebih arif untuk menentukan (punca) kejadian," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Khamis.

Beliau berkata, mereka sekeluarga menganggap kejadian itu sebagai satu takdir dan sudah reda dengan pemergian arwah.

Mohd Termizi
Mohd Termizi

Katanya, semangat isteri dan tiga anak Allahyarham juga sudah pulih daripada kehilangan itu dan kembali menjalani rutin harian seperti biasa.

"Sebagai datuk, saya nampak cucu-cucu saya dalam keadaan baik, semuanya dah kembali normal. Cuma mereka masih tidak mahu ditemu bual wartawan mengenai kejadian ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya dan isteri pula sampai sekarang masih kerap menziarahi pusara arwah, kadang-kadang dua atau tiga hari sekali mesti pergi ke sana (kubur). Insya-ALLAH Sabtu ini, kami berhajat nak adakan bacaan tahlil untuk arwah di surau," katanya.

Mohd Shahrizan yang merupakan Kuartermaster Udara Skuadron 502 antara tiga kru yang berada dalam Pesawat Fennec semasa nahas berlaku bersama Komander Muhamad Amir Mohamad (Pegawai Memerintah Skuadron 502) dan Leftenan T Sivasutan (juruterbang Skuadron 502).

Dalam insiden pada jam 9.32 pagi itu, dua helikopter iaitu Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 membawa empat kru bersama tiga penumpang dan Pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas selepas bergesel di udara di Pangkalan TLDM Lumut.

Kejadian itu mengorbankan semua mangsa yang ketika itu sedang menjalani raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM ke-90.

Mangsa lain, Pegawai Memerintah Skuadron 503 Komander Muhammad Firdaus Ramli, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin, Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503 Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohd Marzukhi, dan Kuartermaster Udara Skuadron 503 Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun.

Tiga anggota wanita yang maut pula ialah Laskar Kanan Joanna Felicia anak Rohna dari Markas Udara TLDM, Pegawai Waran II Norfarahimi Mohd Saedy (Depot Bekalan Armada Barat) dan Bintara Muda Nor Rahiza Anuar (Depot Bekalan Armada Barat).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!