BBC GRS-PH Sabah gesa PM campur tangan isu JKDM

Laporan Sinar Harian pada 17 Mei lepas. Yusof (kanan).
Laporan Sinar Harian pada 17 Mei lepas. Yusof (kanan).
A
A
A

KOTA KINABALU - Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Sabah menggesa isu penubuhan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) mendapat campur tangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusinya, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, BBC GRS-PH Sabah tegas dengan pendirian tidak bersetuju dengan penubuhan JKDM di Sabah seperti yang diusulkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Ahli BBC GRS-PH Sabah menentang mana-mana pihak dari luar dan dalam Sabah yang mahu memecahbelahkan, mengganggu keharmonian yang kita bina semula setelah kehancuran kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2018.

"Jadi BBC GRS-PH Sabah minta Perdana Menteri campur tangan kepada isu ini dengan menasihatkan Ahmad Zahid supaya menarik semula pelantikan JKDM.

"Ini kerana ia bukanlah dasar kerajaan Persekutuan yang dibentang di Parlimen untuk kelulusan perbelanjaan bagi tujuan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam kenyataan bersama BBC Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Dr Yusof turut berkata, penggunaan wang rakyat untuk pembiayaan elaun jawatan itu hanya bermotifkan politik dan merupakan sebagai satu pembaziran yang merugikan rakyat.

Tambahnya, jika ia adalah dasar Kerajaan Persekutuan, mengapa negeri-negeri lain seperti Sarawak dan Pulau Pinang tiada pelantikan jawatan tersebut.

Jelas beliau lagi, bagi Sabah ia bercanggah dengan keputusan kerajaan negeri menerusi Persidangan DUN Ke-16 Penggal Keempat pada November 2023 yang meluluskan pindaan kepada Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah yang mana telah memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk melantik dan mengurus pentadbiran jawatankuasa kampung iaitu Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).

Artikel Berkaitan:

"JKKK ini memainkan peranan dalam pentadbiran kampung dalam pelbagai aspek tadbir seperti keselamatan dan pembangunan untuk kemajuan kampung.

"Selain daripada mencabuli Perlembagaan Negeri Sabah, perkara ini juga akan menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat akar umbi," katanya.

Sehubungan itu, katanya, jika JKDM dilantik maka akan berlaku pertindihan kuasa, fungsi dan tugas yang boleh menyebabkan berlaku ketegangan.

Perkara itu juga katanya, akan menyulitkan pengurusan di peringkat Pejabat Daerah, Majlis Daerah dan Majlis Perbandaran.

"Walaupun apa sahaja alasan diberikan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa penubuhan JKDM tidak bercanggah dan lebih kepada memperkasa ekonomi dan keusahawanan tetapi sebenarnya ia bertindih dan mengelirukan.

"Sepatutnya program keusahawanan dilaksanakan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dan dikordinasikan di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) Sabah. Jadi, tidak perlu lagi JKDM ini diwujudkan di Sabah bagi mengelakkan pertindihan tanggungjawab yang mengelirukan rakyat dan pembaziran dana," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!